
GOMBAK – Kesalahan membabitkan cetakan teks al-Quran antara yang dikesan dalam operasi bersepadu di Kampung Nahkoda dan Taman Laksamana, Batu Caves, di sini, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi tersebut melibatkan 207 anggota daripada enam agensi penguat kuasa.
Menurut beliau, pemeriksaan di kedua-dua lokasi membabitkan 184 individu sepanjang operasi itu dijalankan.
“Kementerian Dalam Negeri telah mengambil tindakan berkaitan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pula merampas dokumen dan bahan berkaitan untuk semakan lanjut.
Katanya, Majlis Perbandaran Selayang turut mengambil tindakan terhadap kesalahan pelesenan perniagaan dan pembinaan tanpa kebenaran, termasuk mengeluarkan notis serta melakukan sitaan.
“Pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menemukan ketidakpatuhan aspek keselamatan kebakaran, termasuk kekurangan alat pemadam api dan kemudahan pelepasan kecemasan bangunan,” ujarnya.
Shazeli menambah, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, manakala tindakan susulan akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai enam warga Pakistan ditahan selepas dalam operasi bersepadu di Masjid Ahmadiyyah, Kampung Nakhoda dan sebuah premis keagamaan di Jalan Laksmana, Kampung Laksmana, Gombak semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, seramai 76 individu diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan bermula pukul 10.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati enam individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan 1963. – KOSMO! ONLINE
The post Kampung Nakhoda digempur, kesalahan cetakan teks al-Quran dikesan appeared first on Kosmo Online.






