‘Kamu tidak akan jadi PM’ – Tun M beri amaran keras pemimpin Melayu berpecah

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 6:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
DR MAHATHIR

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa perpecahan dalam kalangan pemimpin Melayu hanya akan menutup peluang mereka untuk mencapai jawatan tertinggi negara.

Menerusi hantaran di laman sosial rasminya pada Jumaat, beliau menegaskan, hasrat untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan tercapai sekiranya parti-parti Melayu terus berpecah dan bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya umum (PRU).

“Kamu tidak akan jadi PM,” katanya ringkas.

Menurutnya, terdapat pemimpin yang masih percaya bahawa kedudukan sebagai ketua parti menjadi laluan utama untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, namun realitinya kemenangan dalam PRU adalah penentu sebenar.

“Tetapi masih ada pemimpin yang percayai untuk jadi Perdana Menteri, seorang pemimpin hendaklah jadi ketua partinya,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan, perpecahan kepada banyak parti menyebabkan tiada satu pun mampu memperoleh kemenangan, sekali gus menafikan peluang membentuk kerajaan.

“Jika tidak menang PRU tidak mungkin jadi PM walaupun mendapat sokongan parti yang diketuai,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kepentingan menjadi ketua parti sekiranya gagal membawa kemenangan kepada gabungan atau parti masing-masing.

Dalam masa sama, beliau menegaskan hanya penyatuan dalam kalangan orang Melayu mampu memastikan kemenangan calon yang mewakili mereka.

“Yang boleh jadi PM ialah jika semua orang Melayu bersatu.

"Mereka tentukan calon yang mewakili orang Melayu menang,” jelasnya.

Tambahnya, meletakkan terlalu ramai calon dalam sesuatu pilihan raya hanya akan membawa kepada kekalahan semua pihak yang bertanding.

Dr Mahathir turut mengulangi persoalan berhubung keperluan mengejar kedudukan sebagai ketua parti dan calon Perdana Menteri dalam keadaan politik yang berpecah.

“Oleh itu apa guna jadi ketua parti dan calon PM,” katanya.