Kanak-Kanak 10 Tahun Lemas Di Jeram Toi, Meninggal Dunia Di Hospital

3 May 2026 • 8:19 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kanak-Kanak 10 Tahun Lemas Di Jeram Toi, Meninggal Dunia Di Hospital

JELEBU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika berkelah di Jeram Toi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kes tersebut daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang merupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira pukul 5.44 petang.

Memetik laporan Kosmo!, “Anggota APM memaklumkan mangsa disyaki jatuh dan lemas di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu. Berdasarkan laporan awal, mangsa bersama ahli keluarga telah pergi ke taman eko rimba berkenaan untuk berkelah.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mangsa bersama ibunya telah tergelincir jatuh dan ibu mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala mangsa terus tenggelam ke dasar kolam buatan.

“Ibu mangsa memaklumkan mangsa tidak pandai berenang. Hasil bantuan pengunjung yang berada di tempat kejadian telah menjumpai mangsa di dasar kolam buatan,” katanya di sini malam tadi.

Disahkan Meninggal Dunia Di Hospital

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jelebu dan diberikan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 2.58 petang.

Tambahnya, proses bedah siasat akan dibuat pada pukul 10 pagi ini bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan. – The Malaysian Update

The post Kanak-Kanak 10 Tahun Lemas Di Jeram Toi, Meninggal Dunia Di Hospital appeared first on The Malaysian Update.