Kanak-Kanak 9 Tahun Lemas Ditemui Selepas Hanyut 11Km Di Sungai Langat

3 May 2026 • 5:17 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kanak-Kanak 9 Tahun Lemas Ditemui Selepas Hanyut 11Km Di Sungai Langat

Kajang – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang sebelum ini dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras, ditemui di Sungai Langat kira-kira 11 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Izman Adnan berkata, mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi menyusuri sungai menggunakan bot.

“Alhamdulillah, mangsa dijumpai pada pukul 12.17 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ibu dan bapa mangsa turut hadir bagi membuat pengecaman di lokasi penemuan.

Hanyut Selepas Terjatuh Dalam Longkang

Sebelum ini, mangsa yang dikenali sebagai Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, Jumaat lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak hari kejadian sebelum mangsa akhirnya ditemui hari ini oleh pasukan PPDA Bomba.

Kes ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada terutama ketika musim hujan dan arus deras yang boleh mengundang bahaya dalam sekelip mata. – The Malaysian Update

The post Kanak-Kanak 9 Tahun Lemas Ditemui Selepas Hanyut 11Km Di Sungai Langat appeared first on The Malaysian Update.