
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menyertai program tahfiz di Kampung Kapal, Lenggeng, ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kolam berhampiran lokasi kejadian, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 12.28 tengah malam tadi.
Katanya, susulan laporan itu, operasi pencarian dijalankan polis dengan kerjasama agensi berkaitan di sekitar kawasan berkenaan sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan lemah.
“Hasil pencarian, mangsa ditemukan dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah. Bantuan pernafasan diberikan kepada mangsa sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lenggeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 10 pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan masih diteruskan bagi menentukan kronologi dan keadaan sebenar kejadian, termasuk meneliti sama ada terdapat unsur kecuaian atau faktor lain yang berkaitan.
“Klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan keseluruhan hasil siasatan dan laporan bedah siasat,” katanya. –UTUSAN
The post Kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas dalam kolam appeared first on Utusan Malaysia.






