
NILAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang hilang ketika menyertai Program Tahfiz Maghfirah Junior (TMJ) di Yayasan Maghfirah, Kampung Kapal, Lenggeng, ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, polis menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 12.28 tengah malam, sebelum operasi pencarian dijalankan dengan kerjasama pihak berkaitan di sekitar kawasan berkenaan.
“Mangsa ditemui dalam keadaan lemah di dalam kolam dan bantuan pernafasan diberikan sebelum pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lenggeng mengesahkan kematiannya,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat yang dijadualkan pukul 10 pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.
Kata Johari, siasatan masih dijalankan bagi menentukan kronologi dan keadaan sebenar kejadian, termasuk meneliti kemungkinan berlaku unsur kecuaian atau faktor lain.
“Klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan dan laporan bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kanak-kanak lelaki 11 tahun hilang ditemui lemas appeared first on Kosmo Digital.






