
KUALA LUMPUR - Polis mengesan penglibatan kanak-kanak seawal usia 13 tahun dalam menghasilkan dan menjual secara dalam talian kandungan animasi berunsur eksploitasi seksual, sekali gus menunjukkan trend membimbangkan dalam jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, perkara itu dikesan susulan penahanan lapan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 18 tahun dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 14 hingga 16 September lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati sebahagian daripada mereka bukan sahaja memuat turun bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), malah menghasilkan kandungan animasi sendiri sebelum mengedarkan atau menjualnya secara dalam talian.
“Sebahagian suspek menjadi lebih kreatif dengan menghasilkan animasi anime sendiri sebelum menjual kandungan berkenaan di pasaran menggunakan kaedah pembayaran seperti e-dompet dan PayPal.
“Trend ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan penglibatan aktif dalam menghasilkan kandungan dan bukan sekadar menjadi pengguna,” katanya pada sidang media Ops Pedo Bersepadu 3.0 di Bukit Aman, hari ini.
Kumar berkata, antara individu paling muda yang ditahan ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.
“Penyiasatan mendapati sebahagian kanak-kanak terbabit memperoleh pengetahuan mengenai aktiviti ini menerusi platform dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan lazimnya berinteraksi dalam komuniti dalam talian yang mempunyai minat dan kecenderungan sama sebelum bertukar bahan atau maklumat sesama mereka.
“Kita melihat pengaruh media sosial, akses internet tanpa kawalan dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) berpotensi menyumbang kepada perkembangan trend ini.
“Justeru, pemantauan berterusan ibu bapa amat penting kerana kanak-kanak hari ini lebih terdedah dan mahir menggunakan teknologi digital,” katanya.
Kumar berkata, tindakan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi bagi membendung jenayah berkenaan, sebaliknya memerlukan usaha berterusan membabitkan keluarga, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
Katanya, semua pihak perlu meningkatkan kesedaran berkaitan nilai moral serta keselamatan dalam talian bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa atau pelaku.
Beliau menegaskan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian kini merupakan ancaman serius yang memerlukan tindak balas menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan keselamatan golongan berkenaan terus terpelihara. - Getaran, 22 September 2026



