4 khemah jualan bunga api terbakar, pemilik cedera

27 Mar 2026 • 8:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba dan penyelamat membantu memadamkan kebakaran gerai jualan mercun di Kedai Kubang Jambu di sini musnah dalam kebakaran pada petang Jumaat.

LENGGONG – Seorang pemilik gerai mercun cedera selepas empat khemah jualan bunga api miliknya di Kedai Kubang Jambu di sini musnah dalam kebakaran pada petang Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai bermula apabila mangsa lelaki berusia 34 tahun ternampak asap di bahagian bunga api sebelum cuba memadam kebakaran namun api merebak dengan cepat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 2.46 petang.

"Semasa kejadian, gerai berkenaan masih belum beroperasi dan kebiasaannya dibuka pada waktu malam.

"Kebakaran melibatkan empat khemah bersaiz 20 x 20 kaki yang digunakan untuk jualan bunga api dan kesemuanya terbakar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Samad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kecuaian terhadap api dan bahan mudah terbakar.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.48 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar yang berada kira-kira 42 kilometer dari lokasi tiba pada jam 3.25 petang.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan dengan kekuatan 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.41 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.56 petang.