
KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas diserang buaya ketika cuba melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut bersama abangnya di Sungai Semayan, Pulau Banggi, petang Selasa.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Hilmi Nurjahid, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan.
Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang.
Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang guru sekolah kira-kira jam 4.30 petang.
“Mangsa dipercayai masuk ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut sebelum diserang buaya.
“Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan membabitkan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung,” katanya.
Haris berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan di bawah jambatan Sungai Semayan selepas beberapa jam operasi pencarian dijalankan.


