'Saya terima apa pun keadaan dia, syukur mayat Nur Qaseh ditemui'- Datuk

3 May 2026 • 9:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya terima apa pun keadaan dia, syukur mayat Nur Qaseh ditemui'- Datuk
Antara ahli keluarga tiba di Hospital Kajang bagi proses bedah siasat selepas mayat kanak-kanak perempuan yang terjatuh dan dihanyutkan arus deras di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat lepas ditemukan lemas di Sungai Langat berhampiran Jalan Reko, hari ini. Foto Bernama

KAJANG - Suasana hiba di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang sebaik mayat kanak-kanak perempuan Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, tiba untuk proses bedah siasat.

Kanak-kanak berkenaan ditemukan lemas selepas hilang tiga hari akibat terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras Jumaat lepas.

Datuk mangsa Zulkarnain Ahmad, 57, berkata, walaupun seluruh ahli keluarga berduka dengan tragedi itu, mereka tetap bersyukur kerana mayat cucunya akhirnya ditemukan untuk dikebumikan dengan sempurna.

"Saya sebagai datuk bersyukur sangat setelah tiga hari kita tunggu dengan tak cukup tidurnya, makan pun tak lalu, akhirnya dia berjaya ditemui.

"Saya terima apa pun keadaan dia. Asalkan saya dapat tahu di mana dia disempurnakan (dikebumikan), daripada hanyut dan tidak ditemukan,” katanya kepada pemberita di unit forensik di sini hari ini.

Menyifatkan Nur Qaseh Deandra sebagai seorang kanak-kanak periang dan mudah mesra, Zulkarnain berkata, kali terakhir mereka bertemu ialah dua minggu lepas ketika majlis keluarga di kediamannya di Sendayan, Negeri Sembilan.

"Dia memang periang, dia mudah berkawan dengan siapa sahaja. Yang paling terkesan sekarang mungkin abang nombor duanya kerana mereka memang sangat rapat," katanya.

Kira-kira 10 ahli keluarga termasuk ibu bapa kanak-kanak itu menunggu proses bedah siasat selesai dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long di sini.

Difahamkan, jenazah Nur Qaseh Deandra akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long, Hulu Langat malam ini, selepas proses bedah siasat selesai pada jam 3.47 petang.

​Jenazah mangsa dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan sebelum dibawa ke Masjid Taman Rakan di Cheras, dekat sini untuk disembahyangkan.

Nur Qaseh Deandra yang terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Bandar Mahkota Cheras pada Jumaat lepas, ditemukan lemas di Sungai Langat berdekatan Jalan Reko, di sini jam 12.17 tengah hari tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang yang juga komander operasi Izman Adnan, kanak-kanak itu ditemukan kira-kira 10.6 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).- Bernama