
KINABATANGAN: Seorang wanita berusia 44 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan kereta Proton Saga yang dinaiki mereka dan sebuah Toyota Hilux Revo di Kampung Jaya Baru, Jalan Bukit Garam, Sabtu.
Wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kiri kepala serta patah kaki kiri, manakala kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan di kepala serta patah kaki dan tangan kiri selepas tersepit dalam Proton berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata orang awam membantu mengeluarkan mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba. Empat lagi penumpang dalam Proton hanya mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa dihantar ke hospital berdekatan menggunakan dua ambulans Kementerian Kesihatan. Pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pukul 2.44 petang dan tiba di lokasi kejadian yang terletak sejauh 7km jam 2.55 petang.
Operasi berjaya dikawal jam 3.26 petang dan tamat sepenuhnya jam 3.39 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.

