Kanak-kanak antara enam individu dikhuatiri hilang ketika mendaki Gunung Trans Gerah

7 Sep 2026 • 10:41 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kanak-kanak antara enam individu dikhuatiri hilang ketika mendaki Gunung Trans Gerah

SHAH ALAM, 7 SEPT: Empat beranak dari Selangor termasuk kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun antara enam individu yang dikhuatiri hilang ketika mendaki Gunung Trans Gerah di Gua Musang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit yang turut melibatkan dua malim gunung.

“Dua malim gunung yang dikenal pasti adalah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, sementara identiti empat beranak itu adalah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaikha Norizan, 39, serta dua anak mereka iaitu Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raief, 9,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Menurut Farhan, empat beranak terbabit memulakan pendakian dari Gua Musang pada 29 Ogos lalu.

Mereka bersama dua malim gunung itu sepatutnya tiba di Pos Kemar, Perak pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, kesemua enam individu terbabit dilaporkan gagal dihubungi sehingga kini.

Media semalam melaporkan kumpulan berkenaan dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan gunung di Gua Musang pada 29 Ogos.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan empat sekeluarga dan dua malim gunung itu dijadual dimulakan hari ini dengan bantuan helikopter.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dilaporkan berkata penggunaan helikopter bertujuan membantu mengesan mangsa.

Helikopter berkenaan juga akan digunakan untuk menjejak laluan yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit sepanjang pendakian mereka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved