Kanak-kanak belum faham apa itu bahaya

Family & Parenting
30 Oct 2026 • 8:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kanak-kanak belum faham apa itu bahaya

KEJADIAN kanak-kanak terjatuh dari kediaman sehingga meragut nyawa pastinya meninggalkan kesan kepada keluarga terlibat, selain mengundang kebimbangan masyarakat mengenai tahap keselamatan anak kecil.

Lebih meruntun hati, kediaman yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak membesar kini menjadi lokasi berisiko apabila melibatkan tingkap, balkoni dan kawasan tinggi.

Setiap kali tragedi itu berlaku, persoalan mengenai pengawasan ibu bapa dan penjaga lazimnya menjadi antara yang diperkatakan.

Namun, di sebalik persoalan tersebut, sejauh manakah kita memahami perkembangan kanak-kanak dan kemampuan mereka mengenal pasti bahaya di sekeliling?

Pakar Kanak-Kanak, Dr. Khairunnisa’ Mohamad Khalil berkata, kanak-kanak pada usia awal lebih terdedah kepada kemalangan kerana kebolehan fizikal mereka boleh berkembang lebih cepat berbanding keupayaan memahami risiko.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun mungkin sudah mampu memanjat kerusi, membuka pintu atau mencapai tingkap, tetapi belum mempunyai kematangan untuk memahami sepenuhnya akibat daripada tindakan tersebut.

“Bagi orang dewasa, tingkap di tingkat 10 jelas berbahaya. Tetapi bagi anak kecil, mungkin itu cuma tempat menarik untuk melihat kereta di bawah.

“Apabila anak memanjat atau meneroka, bukan bermakna mereka sengaja mahu melakukan sesuatu yang berbahaya. Mereka sedang belajar tentang dunia di sekeliling mereka,” katanya.

Justeru, arahan seperti ‘jangan panjat’ atau ‘hati-hati’ tidak memadai untuk memastikan keselamatan kanak-kanak.

Dalam konteks kediaman bertingkat seperti pangsapuri, kondominium dan rumah pangsa, tingkap serta balkoni antara kawasan yang perlu diberikan perhatian khusus.

Dr. Khairunnisa’ berkata, ibu bapa bukan sahaja perlu memeriksa keadaan tingkap dan penghadang balkoni, malah perlu melihat susunan perabot yang berpotensi menjadi tempat anak memanjat.

“Sebagai contoh, sofa yang diletakkan berhampiran tingkap mungkin kelihatan biasa kepada orang dewasa, tetapi boleh menjadi ‘tangga’ kepada anak kecil untuk memanjat.

“Oleh itu, kerusi, meja, katil dan perabot lain yang boleh dipanjat perlu dijauhkan daripada tingkap serta pagar balkoni. Tingkap juga perlu dilengkapi kunci atau pengehad bukaan yang sesuai, manakala pintu balkoni hendaklah dipastikan tidak mudah dibuka oleh anak kecil,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa jaring nyamuk bukan penghadang keselamatan kerana ia tidak direka untuk menampung berat badan kanak-kanak.

“Pengawasan yang bersesuaian perlu disertai persekitaran yang selamat. Jika ibu bapa perlu melakukan urusan lain, anak kecil boleh ditempatkan di kawasan yang selamat,” katanya.

Hakikatnya, anak kecil akan terus meneroka, memanjat dan mencuba perkara baharu sebagai sebahagian daripada proses membesar.

Mereka tidak boleh diharapkan untuk mengenal pasti semua bahaya, sedangkan kemampuan menilai risiko masih berkembang.

Justeru, usaha melindungi mereka perlu bermula sebelum kemalangan melalui pemeriksaan keselamatan kediaman, pengawasan yang sesuai dan kesedaran bersama

The post Kanak-kanak belum faham apa itu bahaya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved