Kanak-kanak Diumpan Basikal Percuma Jadi Mangsa Amang Seksual

Entertainment
1 Oct 2025 • 10:23 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Gara-gara diumpan dengan basikal percuma, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah menjadi mangsa amang seksual seorang pekerja kilang.

Menurut Buletin TV3, seorang lelaki telah ditahan polis malam tadi kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal kepada kanak-kanak berkenaan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian didakwa terjadi kira-kira jam 9 malam pada Isnin lalu ketika mangsa dan tiga rakannya berada di kawasan Bukit Bintang Ramlee, Sungai Petani.

Kanak-kanak berkenaan telah didatangi oleh seorang lelaki tak dikenali yang menunggang motosikal dan ‘mengumpan’ mangsa dengan memberitahu hendak memberi basikal secara percuma kepadanya.

Mangsa tanpa berfikir panjang mengikut suspek ke sebuah rumah di Taman Sri Astana sebelum kembali ke Bukit Bintang Ramlee dengan sebuah basikal.

Selepas itu, suspek memberitahu hendak memberi sebuah lagi basikal lain menyebabkan mangsa tertarik untuk mengikutnya semula.

“Namun, kanak-kanak lelaki yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu dibawa ke kawasan hutan di Kampung Serukam sebelum suspek didakwa memaksa mangsa memegang alat sulitnya,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Susulan kejadian yang berlaku, pihak polis telah menahan suspek yang berusia 46 tahun pada 9 malam tadi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menerusi hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada hari ini.

Sumber: Buletin TV3

Sumber:

Sumber:

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.