Bapa Dedah Rakan Baik Mangsa Tragedi Lubang Kumbahan Ziarah Kubur Anak Setiap Hari

LocalFamily & Parenting
1 Oct 2025 • 5:03 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pada hujung minggu lalu, kecoh di media sosial berita mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki yang berumur sembilan tahun akibat terjatuh dalam lubang kumbahan sedalam 1.8 meter.

Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Fattah Khairol Rizal terjatuh sewaktu memijak penutup jenis fiber berhampiran dewan sekolah ketika Hari Sukan di sekolahnya yang terletak di Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan.

Allahyarham Abdul Fattah yang merupakan murid tahun tiga cuba diselamatkan oleh seorang penduduk yang bertindak menyelam ke dasar dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans.

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar.

Kehilangan Abdul Fattah amat dirasai oleh keluarga apatah lagi mangsa merupakan anak tunggal lelaki daripada empat orang beradik dan sudah menjadi rutin mencari ibu bapa untuk bersalam dan mengucap selamat malam sebelum masuk tidur.

Bapa Kongsi Rakan Baik Turut Rasa Kehilangan, Ziarah Kubur Setiap Hari

Pemergian Abdul Fattah bukan hanya memberi kesan kepada keluarga malah kepada rakan baiknya yang dikenali sebagai Qarnain.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh bapa Abdul Fattah, Khairol Rizal Mustafar di TikTok, Qarnain tidak pernah lupa menziarahi kubur anaknya setiap hari sejak dikebumikan sehingga semalam (30 September).

Melalui perkongsian itu, dapat dilihat kanak-kanak berkenaan duduk di sebuah kerusi sambil merenung pusara rakan baikknya itu.

“Mereka ini berkawan baik. Meja sebelah menyebelah. Saiz badan, ketinggian hampir sama.

“Pak cik tahu Qarnain rindu dengan Abdul kan? Pak cik pun sama macam Qarnain.

“Maafkan pak cik ye sebab masukkan gambar Qarnain di sini. Bila kita rindu nanti, kita tengok sini ye sayang,” kongsinya.

Kongsi Gambar Kerana Tersentuh Dengan Nilai Persahabatan Kanak-Kanak

Memetik Sinar Harian, Khairol Rizal menjelaskan bahawa tujuannya berkongsi gambar tersebut kerana begitu tersentuh dengan nilai persahabatan sejati kedua-dua.

“Gambar itu dikongsi oleh ayah Qarnain kepada saya dan melihatnya membuatkan saya sendiri sedih kerana anak sekecil itu sudah mengerti nilai persahabatan.

“Saya simpannya di TikTok supaya bila rindu, saya boleh tengoknya bila-bila masa,” jelasnya.

Jelas Khairol Rizal, arwah anaknya mula berkawan baik dengan Qarnain sejak tahun tiga dan semakin rapat kerana berada dalam kelas yang sama.

“Saya juga ada jumpa guru kelas anak dan diberitahu tentang perubahan Qarnain yang dulunya agak aktif, tetapi sekarang lebih banyak diam.

“Saya faham dia berasa kehilangan arwah dan saya juga sudah beritahu ayahnya supaya beri motivasi dan semangat kerana bimbang kesedihannya berpanjangan,” kongsinya.

image is not available

image is not available

Belum Putus Sama Ada Mahu Mengambil Tindakan Terhadap Pihak Berwajib

Pada masa yang sama, Khairol Rizal menjelaskan dia belum memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan terhadap pihak berwajib berhubung penggunaan penutup lubang kumbahan yang tidak selamat di sekolah.

Dia masih meletakkan diri dalam tempoh bertenang dan akan menunggu hasil laporan siasatan.

“Saya dan isteri tak fikir pun lagi. Saya tak tahulah akan datang, tapi buat masa ini kami dalam tempoh bertenang,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah memaklumkan pihaknya mengambil tanggungjawab penuh dan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung tragedi berkenaan.

Laporan lengkap hasil siasatan kejadian itu akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut sekali gus memastikan kejadian sama tidak akan berulang.

Source: