Kanak-kanak jatuh sungai di Subang Jaya, JPS diminta teliti aspek keselamatan

11 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kanak-kanak jatuh sungai di Subang Jaya, JPS diminta teliti aspek keselamatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta meneliti semula aspek keselamatan di sekitar Sungai Klang susulan kejadian seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, Subang Jaya semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata langkah itu penting memandangkan sungai berkenaan terletak di kawasan bandar dan mempunyai beberapa lokasi yang berisiko.

“Saya telah berhubung dengan pihak JPS untuk meneliti langkah-langkah keselamatan yang boleh ditambah baik.

“Ini kawasan bandar dan dekat dengan sungai jadi ada keperluan untuk kita melihat semula aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian lemas berulang,” katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Image from: Kanak-kanak jatuh sungai di Subang Jaya, JPS diminta teliti aspek keselamatan
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze ketika ditemui media pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurut Michelle, aspek keselamatan penduduk juga perlu diberi perhatian ketika projek menaik taraf ban Sungai Klang sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu bukan sahaja perlu mengambil kira aspek mitigasi banjir, malah keselamatan penduduk di sekitar sungai turut perlu diutamakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Michelle memaklumkan satu jasad ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi, namun identitinya masih belum dapat disahkan.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti jasad berkenaan.

“Saya mohon ruang kepada orang ramai untuk memberi peluang kepada pihak polis, bomba dan hospital menjalankan siasatan sewajarnya. Kita masih mengharapkan yang terbaik terutama untuk keluarga terbabit,” katanya.

Image from: Kanak-kanak jatuh sungai di Subang Jaya, JPS diminta teliti aspek keselamatan
Anggota bomba menemukan satu jasad kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai pada jam 10.59 pagi tadi. Foto Ihsan Bomba

Michelle turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam operasi SAR sejak semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian tersebut merupakan kes pertama sepanjang tempoh beliau berkhidmat di Subang Jaya, meskipun kejadian individu terjatuh ke Sungai Klang pernah berlaku di lokasi lain.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Klang di Persiaran Subang Indah, bersebelahan sebuah pasar raya di Subang Jaya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved