
JOHOR BAHRU: Hasrat Mohammad Adib Rizqy Mohammad Fauzi untuk menyambut ulang tahun kelahiran ketujuh pada 27 Oktober ini tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu maut selepas terjatuh dari tingkat 10 kediaman keluarganya, di sini semalam.
Ibu mangsa, Norhidayah Yacob, 30, berkata, keluarga sudah merancang untuk mengadakan sambutan ulang tahun anak kedua daripada empat beradik itu selepas bapanya, Mohammad Fauzi Zurin, 31, menerima gaji.
Katanya, mereka sekeluarga yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa II, Taman Sutera Ros, Tampoi, di sini merancang untuk mengadakan sambutan itu pada Selasa depan.
“Kelmarin sepatutnya hari lahir dia, tetapi kami memang tak sambut sebab suami belum terima gaji lagi. Kami rancang nak sambut pada 27 Oktober nanti.
“Tetapi tidak sangka dia pergi dulu. Kami reda dengan pemergiannya, cuma rasa terkilan kerana dia pergi macam itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Tambah Norhidayah, Mohammad Adib dipercayai terjatuh ketika sedang bermain basikal bersama rakannya pada pukul 5.30 petang.
“Saya sedang mengemas rumah ketika itu, manakala suami keluar bekerja. Seorang rakan anak saya tiba-tiba datang dan beritahu apa berlaku, pada mulanya saya ingat dia hanya bergurau.
“Tetapi apabila saya keluar rumah dan lihat ke bawah, ternampak jasad anak saya yang sudah tidak bergerak. Menggigil seluruh badan saya. Saya terus hubungi suami untuk beritahu apa berlaku,” katanya.
Menurut Norhidayah lagi, anaknya seorang kanak-kanak yang disenangi ramai pihak termasuklah guru-guru di sekolahnya.
“Antara rutin hariannya adalah menyiapkan kerja sekolah yang ada. Pada hari kejadian juga dia siapkan kerja sekolah ya dahulu, dia memang begitu,” katanya.-UTUSAN
The post Kanak-kanak jatuh tingkat 10 tidak sempat sambut hari ulang tahun appeared first on Utusan Malaysia.



![[KEMASKINI] Mohammad Adib tak sempat sambut hari jadi bersama bapa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-23-at-22.08.37-1024x576.jpeg)


