![Image from: [KEMASKINI] Mohammad Adib tak sempat sambut hari jadi bersama bapa](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-23-at-22.08.37-1024x576.jpeg)
JOHOR BAHRU – Hasrat seorang kanak-kanak lelaki menyambut hari lahir bersama bapanya pada 27 Oktober ini tidak kesampaian apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa II, Taman Sutera Ros, Tampoi di sini, hari ini.
Lebih memilukan, Mohammad Adib Rizqy Mohammad Fauzi sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang ketujuh semalam, namun keluarga merancang untuk mengadakan sambutan itu beberapa hari lagi bagi menunggu bapanya menerima gaji.
Ibu mangsa, Norhidayah Yacob, 30, berkata, mereka sekeluarga pada awalnya merancang untuk meraikan hari istimewa anak kedua daripada empat beradik itu bersama bapanya, Mohammad Fauzi Zurin, 31, pada Selasa minggu depan.
“Semalam sepatutnya hari lahir dia, tetapi kami memang tak sambut sebab suami belum bergaji lagi. Kami ingat nak sambut bersama-sama pada 27 Oktober ini.
“Namun, tak sangka pula dia pergi dulu. Kami reda dengan pemergiannya, cuma suami sedikit terkilan sebab anak pergi macam itu sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Mohammad Adib dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan berkenaan ketika keluar bermain basikal bersama rakan-rakannya.
Norhidayah berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah manakala suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh kawan anaknya.
“Pada mulanya saya ingat kawan anak saya hanya main-main. Bila saya keluar dari lihat dari tingkat atas saya lihat jasad anak saya sudah berada di bawah.
“Saya terus ke bawah dan menggigil bila lihat anak saya sudah tidak bergerak sebelum menghubungi suami saya untuk memaklumkan kejadian yang menimpa anak kami,”katanya.
Katanya, Mohammad Adib seorang kanak-kanak yang baik dan disayangi ramai, termasuk guru-gurunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tampoi Utama di sini.
“Dia memang budak yang sangat baik sebenarnya. Ramai yang sayangkan dia, cikgu-cikgu pun sayang dia,”katanya.
Mengimbas rutin harian anaknya, Norhidayah berkata, Mohammad Adib biasanya akan menyiapkan kerja sekolah pada waktu pagi sebelum meneruskan aktiviti hariannya.
Malah, katanya, anak kecil itu mempunyai rutin tersendiri dan sering menghabiskan tugasan sekolah lebih awal.
“Pagi-pagi lagi dia sudah siapkan semua kerja sekolah. Dia memang begitu,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post [KEMASKINI] Mohammad Adib tak sempat sambut hari jadi bersama bapa appeared first on Kosmo Online.






