
PETALING JAYA – Seramai 17 kanak-kanak warga Jordan dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia bagi tujuan mengemis diselamatkan dalam Op Pintas Kasih di sekitar Bukit Bintang dan Chow Kit, Kuala Lumpur semalam.
Operasi bersepadu itu dilakukan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) bersama Bahagian D6 dan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak tujuh serbuan dilakukan di kawasan kaki lima dan enam serbuan di premis penginapan bagi membanteras kegiatan pemerdagangan orang serta eksploitasi kanak-kanak untuk tujuan mengemis.
“Seramai 17 kanak-kanak warga Jordan diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Mereka terdiri daripada lapan kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan berusia tiga bulan hingga 14 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam operasi sama, Kumar berkata, pihaknya menahan seramai 15 individu terdiri daripada tujuh lelaki dan lapan wanita berusia 21 hingga 49 tahun dipercayai warga Jordan berdasarkan dokumen perjalanan yang dirampas.
“Daripada keseluruhan tangkapan, lima individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah. Kesemua mereka ditahan untuk siasatan kerana dipercayai memperdagangkan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi,” katanya.
Polis turut merampas 14 buah telefon bimbit, 32 pasport Jordan, empat kereta sorong bayi dan pelbagai mata wang masing-masing RM24,445, AS$100, €100 dan 635,000 rupiah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan warga asing tersebut memasuki Malaysia secara sah menggunakan pas lawatan sosial yang membenarkan mereka berada di negara ini selama 90 hari.
“Mereka dipercayai membawa kanak-kanak tersebut untuk mengemis di sekitar ibu negara dengan hasil kutipan dianggarkan berjumlah RM500 hingga RM1,000 sehari.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat hubungan kekeluargaan antara mangsa yang diselamatkan dan semua tangkapan. Mereka dipercayai satu kumpulan sindiket yang didalangi warga Jordan,” katanya.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 32(A) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE
The post Kanak-kanak Jordan mengemis di KL, raih sehingga RM1,000 sehari appeared first on Kosmo Digital.


