Polis selamatkan 17 kanak-kanak Jordan dijadikan pengemis

20 Aug 2026 • 5:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis selamatkan 17 kanak-kanak Jordan dijadikan pengemis
M Kumar

KUALA LUMPUR - Polis menyelamatkan 17 kanak-kanak warga Jordan disyaki menjadi mangsa eksploitasi pemerdagangan orang untuk mengemis menerusi Ops Pintas Kasih di Bukit Bintang dan Chow Kit di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa terdiri daripada lapan kanak-kanak lelaki dan sembilan perempuan berusia tiga bulan hingga 14 tahun diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau berkata, polis turut menahan tujuh lelaki dan lapan wanita dipercayai warga Jordan berusia 21 hingga 49 tahun dalam 13 serbuan di kaki lima dan premis penginapan bagi siasatan memperdagangkan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi.

"Siasatan awal mendapati ahli kumpulan ini memasuki Malaysia secara sah menggunakan Pas Lawatan Sosial yang membenarkan mereka berada di negara ini selama 90 hari.

"Kumpulan ini membawa kanak-kanak bagi tujuan mengemis di sekitar Kuala Lumpur dengan kutipan dianggarkan antara RM500 hingga RM1,000 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti hubungan semua mangsa dengan individu ditahan.

Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya turut merampas antaranya 14 telefon bimbit, 32 pasport Jordan serta wang tunai pelbagai negara berjumlah RM24,445, USD100, 100 Euro dan 635,000 Rupiah.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 ATIPSOM 2007, Seksyen 32(A) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved