
PETALING JAYA: Seramai 17 kanak-kanak warga Jordan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi pemerdagangan orang bagi tujuan mengemis diselamatkan dalam Op Pintas Kasih di Bukit Bintang dan Chow Kit dekat sini, semalam.
Mereka yang diselamatkan terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan perempuan berumur antara tiga bulan hingga 14 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, turut ditahan 15 individu disyaki warga Jordan berusia 21 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan memperdagangkan seseorang kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi.
Beliau berkata, tangkapan itu terdiri daripada tujuh lelaki dan lapan wanita manakala lima daripada mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Ahli kumpulan ini telah memasuki Malaysia secara sah dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial yang membenarkan mereka berada di negara ini selama tempoh 90 hari.
“Kumpulan ini membawa kanak-kanak bagi tujuan mengemis di kawasan sekitar Kuala Lumpur dengan hasil kutipan harian dianggarkan antara RM500 hingga RM1,000 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, sindiket disyaki didalangi warga Jordan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung hubungan mangsa dengan individu ditahan.
Beliau berkata, turut dirampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, 32 pasport Jordan serta wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM24,445; AS$100; 100 Euro dan 635,000 Rupiah.
Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta AntiPemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 32 (A) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN
The post 17 pengemis kanak-kanak warga Jordan diselamatkan appeared first on Utusan Malaysia.





