Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut terjatuh dari tingkat tujuh

16 Jun 2026 • 12:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut terjatuh dari tingkat tujuh
Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Sepakat Indah 2, Kajang, awal pagi Isnin. - Gambar Thread @who.is.luqs

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Sepakat Indah 2 di sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Blok AB, Apartmen Sri Lavender daripada seorang lelaki menerusi talian MERS 999 pada jam 7.12 pagi.

Beliau berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi telah membuat pemeriksaan serta mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Naazron berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu terjatuh dari kediaman bertingkat berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Bagaimanapun, kes turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mempunyai unsur pengabaian," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan memastikan keselamatan mereka terutamanya di kawasan kediaman bertingkat. - Bernama