Kanak-kanak perempuan jatuh longkang: Radius pencarian diperluas - Bomba

2 May 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kanak-kanak perempuan jatuh longkang: Radius pencarian diperluas - Bomba
Anggota penyelamat sedang melakukan pencarian secara terperinci.

KAJANG – Lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras di sini diperluaskan hingga ke Sungai Langat.

Ketua Zon Hulu Langat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Selangor, Wan Syariman Wan Saleh berkata, keadaan air yang semakin surut ketika ini membolehkan anggota penyelamat melakukan pencarian secara lebih menyeluruh.

"Anggota penyelamat akan melakukan pencarian secara terperinci di kawasan sempit termasuk melalui culvert," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Sabtu.

Wan Syariman berkata, pos kawalan semua agensi turut dipindahkan ke Masjid Taman Rakan bagi memudahkan pemantauan serta penyelarasan tenaga operasi.

"Operasi pencarian akan bermula dari Jambatan Taman Rakan menghala semula ke lokasi mangsa dipercayai terjatuh sebelum diteruskan hingga ke Sungai Langat," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui antara cabaran utama operasi adalah struktur longkang jenis ‘monsoon drain’ yang mempunyai tebing tinggi serta permukaan tanah tidak stabil.

“Anggota tidak boleh turun dari atas kerana faktor keselamatan, jadi mereka perlu masuk melalui laluan air untuk meneruskan pencarian hingga ke Sungai Langat.

“Operasi SAR dijangka diteruskan hingga malam bergantung kepada keadaan cuaca semasa," ujarnya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati anggota Bomba Dan Penyelamat turut menggunakan dron bagi membantu operasi pencarian.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola sebelum dihanyutkan arus deras.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 malam sebelum operasi SAR digerakkan.