Kanak-Kanak tiga tahun maut, nahas libatkan kenderaan polis, Perodua Kelisa

LocalCars
11 Feb 2026 • 9:11 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berlaku di Jalan Ipoh-Lumut (Puncak Jelapang) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.35 petang, melibatkan sebuah kereta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Honda Civic dan sebuah kenderaan Perodua Kelisa.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati Perodua Kelisa yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh kereta peronda, menyebabkan perlanggaran berlaku.

Akibat kemalangan tersebut, dua anggota polis serta pemandu Perodua Kelisa mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Baca juga:

Bagaimanapun, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menaiki Perodua Kelisa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital yang sama kira-kira jam 4.32 petang.

“Pihak polis turut menahan kedua-dua kenderaan terlibat untuk pemeriksaan PUSPAKOM selain mengesan rakaman papan pemuka (dashcam) serta saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Sabrina Anita binti Abd Samat di talian 05-2451537 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Insiden kemalangan berkenaan turut tular di media sosial selepas beberapa pengguna memuat naik rakaman dan gambar kejadian.

The post Kanak-Kanak tiga tahun maut, nahas libatkan kenderaan polis, Perodua Kelisa appeared first on The Reporter.