Kandungan Arsenik 430 Kali Ganda Lebih Had, Singapura Keluarkan Amaran Ke Atas Produk Malaysia

Health & Fitness
22 Nov 2023 • 4:36 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) baru-baru ini mengeluarkan amaran terdapat krim ekzema yang dijual melalui laman web di Malaysia serta platform e-dagang, didapati mengandungi 430 kali ganda lebih dari had arsenik yang dibenarkan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, HSA memberi amaran kepada pengguna krim ‘Euzema Confidence Revival Cream’ untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Selain arsenik, menurut laporan HSA, krim berkenaan juga mengandungi steroid yang kuat dan boleh mendatangkan bahaya yang serius pada kesihatan pengguna.

Krim itu adalah antara empat produk mengandungi bahan yang terlarang baru-baru ini ditemui di platform runcit.

Menurut laporan itu juga, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an mengalami keradangan kulit yang dipanggil purpura. Ia menyebabkan bintik merah keunguan muncul akibat pendarahan kecil di bawah kulit.

Kesan berkenaan terjadi kepada mangsa selepas beliau menggunakan krim tersebut selama satu tahun.

Penemuan tersebut kemudian telah dilaporkan oleh doktor yang merawatnya kepada HSA kerana mengesyaki tindak balas kulit yang teruk itu adalah disebabkan mineral yang mengandungi arsenik seperti yang dilabelkan pada krim.

Difahamkan, mangsa telah membeli krim tersebut di sebuah platform atas talian dan ia mendakwa ‘mampu merawat ekzema dengan formula semulajadi, bebas steroid, tiada kesan sampingan serta mengandungi 100% bahan semulajadi’.

image is not available

Selepas ujian dijalankan, HSA mendapati krim tersebut mengandungi 430 kali ganda lebih daripada had arsenik yang dibenarkan selain turut mengandungi tahap betamethasone, iaitu sejenis steroid yang kuat dan berasid salisilik.

Arsenik boleh menyebabkan keradangan pada kulit dengan simptom seperti ruam dan lepuh, atau ruam yang menyebabkan kulit menggelupas. Penggunaan secara berpanjangan boleh menyebabkan keracunan arsenik.

Sementara itu, betamethasone pula hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan yang ketat kerana boleh menyebabkan kesan buruk jika digunakan secara berlebihan.

HSA dalam masa yang sama telah bekerjasama dengan pentadbir platform tempatan untuk mengeluarkan penyenaraian produk yang terlibat selain memanggil dua orang penjual untuk membantu siasatan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati apabila membeli produk daripada sumber yang tidak diketahui atau tidak dikenali dalam talian, dan hanya membeli daripada farmasi atau laman web peruncit yang bereputasi.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.