Kanopi Residences capai kadar pengambilan 90 peratus 

Business & Finance
12 Aug 2026 • 3:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kanopi Residences capai kadar pengambilan 90 peratus 

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pembangunan kediaman bertingkat tinggi apabila Kanopi Residences di Elmina City Centre mencapai tahap maksimum struktur menerusi majlis topping-off.

Ini sekali gus menandakan projek itu semakin hampir kepada sasaran siap pada suku ketiga 2027.

Kanopi Residences yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM299 juta itu merupakan pembangunan kediaman bertingkat tinggi pertama Sime Darby Property di kawasan Elmina City Centre seluas 350 ekar, yang menjadi sebahagian daripada pelan induk City of Elmina seluas 6,500 ekar.

Projek 36 tingkat itu menawarkan 499 unit kediaman dengan keluasan antara 550 hingga 1,200 kaki persegi, menyasarkan golongan profesional muda, pembeli rumah pertama dan keluarga yang baru membina kehidupan.

Sejak dilancarkan pada suku keempat 2024, Kanopi Residences telah merekodkan kadar pengambilan sebanyak 90 peratus, mencerminkan permintaan menggalakkan terhadap kediaman di Elmina City Centre.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, pencapaian struktur maksimum itu mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dibangunkan dengan selamat dan mengikut jadual.

“Lebih penting, ia mencerminkan komitmen Sime Darby Property untuk menyampaikan pembangunan berkualiti mengikut jadual, selain memenuhi kepercayaan yang diberikan pembeli kepada kami,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pertumbuhan Elmina City Centre turut selari dengan visi Sime Darby Property untuk mewujudkan konsep bandar 15 minit, dengan kemudahan harian seperti pusat komersial, sekolah, taman dan rangkaian pengangkutan berada dalam jarak yang mudah dicapai dengan berjalan kaki atau berbasikal.

Dari sudut kemudahan dan kesalinghubungan, Kanopi Residences terletak kira-kira 300 meter dari Elmina Lakeside Mall, selain mempunyai akses ke Lebuhraya Guthrie Corridor dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Penduduk turut mempunyai akses berjalan kaki ke Elmina Central Park seluas 300 ekar yang merangkumi taman bandar, komuniti, seni dan budaya, hidupan liar, hutan serta sukan, selain dihubungkan menerusi koridor biodiversiti sepanjang lima kilometer.

Kanopi Residences mengetengahkan konsep kehidupan berasaskan penghijauan yang diinspirasikan oleh Hutan Simpan Bukit Cherakah berhampiran.

Pembangunan itu dilengkapi lebih 35 kemudahan bertemakan kesejahteraan termasuk Co-Working in the Sky, Lounge in the Sky dan Fitness in the Sky, selain kemudahan rekreasi dan komuniti di Aras 7.

Menurut Sime Darby Property, pembangunan tersebut juga berada berhampiran beberapa sekolah rendah dan menengah serta sekolah antarabangsa, sekali gus menyokong konsep kehidupan bandar yang mengutamakan kebolehjalanan dan akses kepada kemudahan harian.

Kanopi Residences turut menerima pengiktirafan Gold Award bagi kategori Pembangunan Kediaman Bertingkat Tinggi Gaya Hidup Terbaik pada PropertyGuru Asia Property Awards Malaysia 2025.

Sime Darby Property sebelum ini merekodkan kadar pengambilan 70 peratus ketika pelancaran Kanopi pada November 2024.

Dengan pencapaian terbaharu itu, Kanopi Residences dijangka menjadi antara pemangkin kepada pengembangan penawaran kediaman di Elmina City Centre, sekali gus menyokong usaha Sime Darby Property membangunkan kawasan berkenaan sebagai hab kediaman dan komersial yang lebih rancak.-UTUSAN

The post Kanopi Residences capai kadar pengambilan 90 peratus  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved