liza12/08/2026 - 15:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos – Sime Darby Property Berhad mencatat jualan sebanyak 90% bagi Kanopi Residences, projek kediaman bertingkat tinggi pertamanya di Elmina City Centre yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM299 juta.
Majlis kemuncak sempena siapnya struktur bangunan (topping-off) bagi projek 36 tingkat itu diadakan sebagai simbolik pembinaan Kanopi Residences kini mencapai peringkat tertinggi.
Projek berkenaan dijadualkan siap pada suku ketiga 2027.
Kanopi Residences dilancarkan pada suku keempat 2024 dan menawarkan sebanyak 499 unit kediaman pegangan bebas dengan keluasan antara 550 hingga 1,200 kaki persegi.
Harga jualan kediaman berkenaan bermula daripada RM590,888. Projek itu terletak di Persiaran Garcinia dalam kawasan pembangunan induk City of Elmina seluas 2,630.5 hektar (6,500 ekar).
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata Kanopi Residences mencerminkan visi syarikat untuk mewujudkan konsep bandar 15 minit, dengan kemudahan harian yang boleh dicapai dalam tempoh tersebut sama ada dengan berjalan kaki atau berbasikal.

Konsep Bandar 15 Minit
Menurutnya, pembangunan Elmina City Centre terus berkembang sebagai persekitaran bandar bersepadu yang menggabungkan kemudahan komersial, sekolah, taman serta rangkaian akses dalam satu kawasan.
Konsep itu membolehkan penduduk mendapatkan akses kepada keperluan harian tanpa perlu melakukan perjalanan yang jauh, selaras dengan usaha mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih mudah dan bersepadu.
Kanopi Residences turut berada berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah yang mempunyai keluasan sekitar 1,092.7 hektar (2,700 ekar) yang memberikan elemen alam semula jadi dalam persekitaran pembangunan tersebut.
Projek itu mengetengahkan konsep kehidupan berasaskan penghijauan (afforestation living) dan dilengkapi lebih 35 kemudahan bertemakan kesejahteraan untuk kegunaan penduduk.
Dari segi lokasi, Kanopi Residences terletak kira-kira 300 meter dari Elmina Lakeside Mall, selain mempunyai akses terus ke Lebuhraya Guthrie Corridor dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam.
Kedudukan projek dalam Elmina City Centre turut membolehkan pembangunan kediaman berkenaan menjadi sebahagian daripada kawasan bandar yang sedang berkembang dalam pelan induk City of Elmina. - DagangNews.com






