
BATUK yang tidak berhenti, rasa letih yang luar biasa atau sesak nafas sering dianggap perkara kecil, tetapi hakikatnya ia mungkin tanda awal kepada penyakit yang lebih serius iaitu kanser paru-paru.
Di Malaysia, penyakit ini kekal sebagai antara punca utama kematian akibat kanser dan kebanyakan kes hanya dikesan apabila sudah di peringkat lewat.
Menyedari pentingnya kesedaran masyarakat terhadap pencegahan dan pengesanan awal, Pantai Hospital Melaka dengan kerjasama Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) menganjurkan Forum Awam Kanser Paru-Paru bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan paru-paru serta memahami pilihan rawatan yang tersedia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Tan Yew Aik menjelaskan bahawa usaha mendidik komuniti merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihak hospital terhadap penjagaan kesihatan yang menyeluruh.
Katanya, kanser paru-paru masih menjadi antara kanser paling lazim dan paling membawa maut di Malaysia dengan kebanyakan kes hanya dikesan apabila penyakit sudah berada di tahap serius.
“Misi kami bukan sekadar merawat, tetapi memperkasakan masyarakat dengan maklumat dan akses kepada saringan yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Perunding Perubatan Respiratori dan Dalaman, Dr Muventhiran Ruthranesan pula menjelaskan bahawa kadar penyembuhan kanser paru-paru telah meningkat daripada tujuh peratus pada tahun 1971 kepada 15 peratus hari ini.

Walau bagaimanapun, angka itu masih rendah dan faktor gaya hidup seperti merokok terus menjadi punca utama.
“Perokok mempunyai risiko 15 hingga 30 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat atau meninggal dunia akibat kanser paru-paru berbanding bukan perokok.
"Saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi dapat membantu mengesan penyakit pada peringkat awal dan memberi peluang rawatan yang lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Perunding Radiologi Muskuloskeletal dan Klinikal, Dr Siti Hajar Omar menegaskan bahawa pengesanan awal mampu meningkatkan peluang untuk sembuh serta kadar kelangsungan hidup pesakit.
Beliau menjelaskan bahawa kaedah Low-Dose Computed Tomography (LDCT) kini menjadi antara alat saringan paling berkesan bagi mengesan nodul kecil dan kanser paru-paru di peringkat awal.
“LDCT menggunakan dos radiasi yang lebih rendah berbanding imbasan CT biasa tetapi jauh lebih sensitif dalam mengesan kelainan kecil pada paru-paru.
"Kajian menunjukkan ia lebih berkesan daripada X-ray dada konvensional,” katanya.
PENYEMBUHAN PENUH
Dari perspektif pembedahan, Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Leong Kin Seng menjelaskan, pesakit yang menjalani pembedahan pembuangan tumor pada peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 70 peratus berbanding hanya 30 peratus bagi keseluruhan pesakit.
Menurutnya, pembedahan masih menjadi antara rawatan utama untuk mencapai penyembuhan penuh, terutama apabila kanser dikesan sebelum merebak ke organ lain.
Perkongsian turut disampaikan oleh Perunding Onkologi Klinikal, Dr Eng Jie Yi yang menerangkan bahawa landskap rawatan kanser paru-paru kini jauh lebih maju dan berfokus.
Beliau berkata, rawatan moden melibatkan pendekatan pelbagai disiplin termasuk pembedahan, radioterapi, kemoterapi, terapi disasarkan dan imunoterapi.
“Pemilihan rawatan yang tepat memerlukan kerjasama antara pakar perubatan, pakar radiologi, pakar diet, jururawat, ahli psikologi dan tentunya mengambil kira keutamaan pesakit sendiri.
"Dengan pengesanan awal, peluang untuk sembuh adalah jauh lebih tinggi. Kanser paru-paru kini bukan lagi hukuman mati seperti dahulu,” katanya.
Selain sesi forum, peserta yang layak turut berpeluang menjalani X-ray dada berasaskan kecerdasan buatan (AI), imbasan CT dos rendah serta sesi konsultasi percuma yang disediakan oleh LCNM.
Inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah menggalakkan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kesihatan diri dan melakukan saringan awal.
Menurut Tan Yew Aik, kesihatan bukan hanya soal rawatan selepas sakit, tetapi juga pencegahan, pendidikan dan tanggungjawab bersama dalam membina kesedaran komuniti.
“Apabila masyarakat lebih sedar dan berani menjalani saringan awal, kita sebenarnya sedang menyelamatkan lebih banyak nyawa.
"Bersama-sama, kita mampu membuat perubahan,” katanya menutup bicara.

