Kapal FPSO Agogo lakukan persinggahan berjadual di Walvis Bay sebelum ke Angola

LocalBusiness & Finance
13 May 2025 • 4:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kapal FPSO Agogo lakukan persinggahan berjadual di Walvis Bay sebelum ke Angola

image is not available

13/05/2025 - 16:30

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Agogo yang dikendalikan oleh Yinson Production bagi pihak Azule Energy, telah membuat persinggahan teknikal berjadual di Walvis Bay pada 8 Mei 2025 sebelum meneruskan pelayaran ke Angola.

Persinggahan ringkas itu adalah sebahagian daripada perancangan logistik untuk menambah bekalan dan memudahkan pertukaran kru.

Pengarah Projek Yinson Production, Per Dyberg berkata, pihaknya berbesar hati kerana FPSO Agogo sudah tiba di Walvis Bay, hab penting di pantai barat Afrika.

“Kejayaan pelayaran Agogo ini mencerminkan koordinasi dan komitmen pasukan, serta menggambarkan skala antarabangsa dan kerumitan teknikal projek tenaga moden di rantau ini.

"Kehadiran kapal ini di Walvis Bay mencerminkan peranan pelabuhan Afrika yang semakin penting dalam merealisasikan projek infrastruktur tenaga berskala besar," katanya dalam satu kenyataan.

Dibina dan dikendalikan oleh Yinson Production untuk Azule Energy, kapal ini dijangka tiba di Angola pada pertengahan Mei 2025.

FPSO Agogo dijangka memulakan operasinya pada separuh kedua 2025 dalam Projek Pembangunan Bersepadu Agogo West Hub di Blok 15/06 luar pesisir Angola untuk Azule Energy, di bawah kontrak pajakan tetap selama 15 tahun dengan pilihan lanjutan selama lima tahun lagi, dengan nilai kontrak keseluruhan mencecah sekitar AS$5.3 bilion.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 120,000 tong minyak sehari, kapal ini dilengkapi dengan teknologi pengurangan karbon yang terkini, termasuk sistem perintis penangkapan karbon selepas pembakaran yang pertama dalam industri untuk FPSO.

Ia turut menampilkan sistem suluhan tertutup, sistem pelindung hidrokarbon, teknologi kitaran gabungan, kawalan proses automatik, serta penggunaan pemacu elektrik sepenuhnya.

Semua ini selaras dengan matlamat Yinson Production untuk menjadi neutral karbon menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050, apabila teknologi pengurangan karbon di atas kapal FPSO ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga 27%. - DagangNews.com

standard