WTEC Group dibuka mendatar sebelum susut kepada 24.5 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE

29/04/2025 - 10:29
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 April - Pengeluar alat ganti automotif, WTEC Group Bhd membuat penampilan sulung yang tidak stabil di Pasaran ACE apabila dibuka mendatar pada harga 25 sen sebelum menysuut sedikit kepada 24.5 sen pada dagangan awal.
Pada 9.04 pagi, WTEC didagangkan pada 24.5 sen dengan 3.74 juta saham bertukar tangan. Kaunter itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.005 sen atau 2%, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen.
Pengarah Urusan Kumpulan Kumpulan WTEC, Tan Kok Kheng berkata, penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE adalah sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar untuk meletakkan syarikat untuk fasa pertumbuhan seterusnya dan ia mencerminkan usaha pasukan serta kepercayaan berterusan yang diberikan pelanggan terhadap potensi jangka panjang.
"Kami akan mempertingkat dan menyelaraskan operasi kami, terutamanya melalui pemerolehan kemudahan pembuatan sedia bina baharu.
"Ini akan membolehkan kami menyatukan operasi yang sedang dijalankan di beberapa tapak dan untuk melabur dalam mesin dan peralatan tambahan, yang merupakan langkah perlu ke arah meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi kami dalam pasaran yang sentiasa berubah.
"Dengan strategi yang jelas, pasukan yang berkebolehan, dan asas yang kukuh, kami berada pada kedudukan yang baik bukan sahaja untuk menyokong industri dan pelanggan yang kami layani, tetapi juga untuk berkembang bersama mereka dengan cara yang stabil dan mampan pada tahun-tahun mendatang," katanya dalam satu kenyataan.
Daripada RM22.5 juta yang diperoleh daripada IPO, RM9.4 juta (41.8%) telah diperuntukkan untuk pemerolehan dan pengubahsuaian kilang baharu. RM3.0 juta (13.3%) diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu, manakala RM5.1 juta (22.7%) akan digunakan sebagai modal pusingan dan pembelian inventori.
Tambahan RM1.0 juta (4.4%) diperuntukkan untuk perbelanjaan jualan dan pemasaran manakala baki RM4 juta (17.7%) akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Alliance Islamic Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.- DagangNews.com
standard
