Kapal kargo asing bersauh tanpa kebenaran ditahan di perairan Perak

8 Nov 2026 • 7:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kapal kargo asing bersauh tanpa kebenaran ditahan di perairan Perak

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo asing selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran di perairan Perak, semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, kapal berdaftar di Gambia itu dikesan pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak dekat sini.

Katanya, kapal tersebut dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh 21 kru terdiri daripada 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.

“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan penahanan kapal berkenaan, nakhoda dan ketua jurutera vesel dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.

Katanya, dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

“Kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.

Dalam pada itu Zainudin menegaskan bahawa setiap vesel yang memasuki atau berada di perairan negara wajib mematuhi peraturan dan undang-undang maritim yang berkuat kuasa.

“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh pemantauan melalui rondaan aset dan sistem pengawasan bagi memastikan keselamatan pelayaran, ketertiban aktiviti maritim serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – UTUSAN

The post Kapal kargo asing bersauh tanpa kebenaran ditahan di perairan Perak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved