
LUMUT – Sebuah kapal kargo asing jenis bulk carrier yang berdaftar di Panama ditahan selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 43.3 kilometer (km) barat daya Tanjung Lumba-Lumba di sini sekitar pukul 4 petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Shukri Khotob berkata, kapal berkenaan pada awalnya dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut.
“Maklumat mengenainya kemudian disalurkan oleh Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Susulan pemeriksaan itu, beliau berkata tiga kru terdiri daripada seorang warga Rusia berusia 34 tahun dan dua warga Myanmar masing-masing berusia 33 dan 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.
“Dokumen berkaitan kapal turut disita untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi melengkapkan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Dalam kes berasingan, katanya, pihaknya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang perikanan dan perkapalan di perairan negeri ini.
Katanya, VNT itu ditahan kira-kira pukul 9.55 pagi semalam pada kedudukan lebih kurang 3.7km barat laut muara Sungai Burung di sini ketika bot ronda APMM melaksanakan operasi penguatkuasaan.
Menurut Mohd. Shukri, pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga Malaysia berusia 56 tahun.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan selain gagal mempamerkan lesen vesel sebagaimana ditetapkan,” katanya.
Katanya, tekong berkenaan ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti APMM untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Kapal kargo dari Panama ditahan di Tanjung Lumba-Lumba appeared first on Kosmo Online.






