
KUALA LANGAT – Kegiatan pemindahan kargo diesel tanpa kebenaran melibatkan kapal tangki dan bot tunda terbongkar selepas ditahan di kedudukan kira-kira satu batu nautika selatan Pantai Tanjung Rhu, pada awal pagi tadi.
Kedua-dua vesel itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu hasil risikan pihaknya selepas mengesan pergerakan mencurigakan kedua-dua vesel berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dokumen mendapati kedua-dua vesel gagal mengemukakan dokumen kebenaran bagi menjalankan aktiviti pemindahan kargo berkenaan. Pemeriksaan turut menemukan wang tunai berjumlah RM65,000 di atas bot tunda,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kapal tangki dan bot tunda berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Tambahnya, kapten kapal tangki, nakhoda bot tunda dan seorang pegawai kejuruteraan berusia antara 30 hingga 50-an turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Pindah minyak diesel secara haram di laut appeared first on Kosmo Online.






