
LUMUT – Seramai lima nelayan Myanmar yang menggunakan vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kelac C di kedudukan 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh di sini petang Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua mereka ditahan oleh aset APMM ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka pada pada pukul 5 petang.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 26 hingga 56 tahun dan sedang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan memiliki lesen yang sah.
“Bagaimanapun, tekong bersama dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua kru lain mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan penggajian atau pembawaan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semakan turut mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.
“Turut ditemukan di atas vesel berkenaan ialah hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 250 kilogram,” katanya.
Beliau berkata, kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel manakala hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan turut dirampas sebelum dibawa ke jeti APMM untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Lima nelayan Myanmar guna bot tempatan ditahan appeared first on Kosmo Online.






