
KUALA LUMPUR: Tindakan tegas termasuk mengenakan penalti perlu diambil terhadap kapal kargo yang didakwa melanggar undang-undang dan peraturan Malaysia menerusi penghantaran serta pemindahan kargo ke Israel.
Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr. Nazari Ismail berkata, tindakan itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terdedah kepada kemungkinan dakwaan keterlibatan dalam genosid, selain memastikan dasar negara berkaitan Palestin dilaksanakan secara berkesan.
Menurut beliau, due diligence juga perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kemudahan pelabuhan negara tidak menyediakan perkhidmatan, kebenaran berlabuh atau laluan melalui perairan wilayah kepada kapal yang membawa kargo ke Israel sekiranya penghantaran berkenaan melanggar dasar Malaysia dan undang-undang antarabangsa.
“Sekurang-kurangnya 71 kontena membawa kargo menuju ke Israel berdasarkan dokumentasi yang disediakan menerusi inisiatif No Harbour for Genocide.
“Penghantaran seumpama itu berkemungkinan berulang dan menunjukkan kewujudan rantaian bekalan barangan ke Israel yang bersifat rutin serta tersusun,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan berhubung dakwaan itu di Balai Polis Setiawangsa, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nazari berkata, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan susulan pihak berkuasa Malaysia sebelum ini pernah menyekat kargo yang ditujukan kepada pengeluar senjata terbesar Israel, Elbit Systems, pada Ogos lalu.
“Kerajaan perlu bergerak melangkaui tindakan sekatan secara ad hoc dengan melaksanakan langkah menyeluruh, termasuk larangan terhadap semua kapal dan kargo yang menuju ke Israel,” jelasnya.
Beliau berkata, BDS Malaysia turut menggesa kerajaan melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap semua kontena yang ditujukan ke Israel dan kini berada di pelabuhan Malaysia termasuk menyita kontena berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia menyita sebuah kontena di sebuah pelabuhan negara yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel pada 7 Ogos lalu.
Penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia. – UTUSAN
The post Kapal kargo ke Israel perlu tindakan tegas appeared first on Utusan Malaysia.





