hamden09/09/2026 - 12:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept - Belanjawan 2027 dijangka kekal bersifat mengembang dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM438.9 bilion, meningkat 3.7% daripada unjuran disemak 2026 sebanyak RM423.4 bilion, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan perbelanjaan berkenaan merangkumi RM353.1 bilion perbelanjaan operasi dan RM85.8 bilion perbelanjaan pembangunan, berbanding masing-masing RM342.7 bilion dan RM80.7 bilion dalam anggaran disemak 2026.
Angka itu juga lebih tinggi berbanding peruntukan Belanjawan 2026 sebanyak RM419 bilion, yang terdiri daripada RM338.2 bilion perbelanjaan operasi dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan.
Menurut TA Research, kerajaan dijangka masih mempunyai ruang fiskal untuk menyokong isi rumah dan perniagaan, namun komitmen terhadap konsolidasi fiskal menunjukkan sebarang pengembangan perbelanjaan akan lebih tertumpu kepada bantuan bersasar, perbelanjaan pembangunan serta langkah yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.
"Kerajaan dilihat amat telus mengenai hala tuju dasarnya, termasuk memperkenalkan rangka kerja perundingan merangkumi 10 bidang, secara jelas menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sambil memberi isyarat keterbukaan terhadap pembaharuan hibrid, selain membuat komitmen awam untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan," katanya dalam nota penyelidikan.
Pengundi muda antara pertimbangan Belanjawan 2027
TA Research berkata Belanjawan 2027 juga berkemungkinan mengambil kira pertimbangan pilihan raya susulan kepentingan golongan pengundi muda yang semakin meningkat.
Menurutnya, golongan itu amat sensitif terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, gaji dan kemampuan memiliki rumah, yang turut selari dengan beberapa keutamaan kerajaan bagi Belanjawan 2027.
Antaranya termasuk kebajikan dan gaji pekerja, pendidikan serta kemahiran, perlindungan sosial dan pewujudan pekerjaan bernilai tinggi.
Firma penyelidikan itu berkata langkah bantuan yang diperkenalkan kerajaan tidak seharusnya dilabel sebagai "habuan pilihan raya", sebaliknya dilihat sebagai tindak balas terhadap rungutan sebenar rakyat, khususnya tekanan kos sara hidup berterusan serta kebimbangan dalam kalangan kumpulan M40.
"Golongan ini mungkin tidak layak menerima bantuan tradisional B40, namun berdepan kos isi rumah yang lebih tinggi," katanya.
TA Research berkata tumpuan terhadap bantuan bersasar mencerminkan usaha kerajaan untuk memperluas capaian sokongan sambil mengekalkan disiplin fiskal.
Fokus kepada pendapatan boleh guna, pekerjaan dan kemampuan
Bagi pelaksanaan Belanjawan 2027, kerajaan dijangka memberi keutamaan kepada langkah bersasar yang mampu memberikan manfaat ketara dalam tempoh terdekat tanpa menjejaskan agenda konsolidasi fiskal.
Berbanding pemberian tunai secara menyeluruh, tumpuan dijangka diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan boleh guna, prospek pekerjaan dan kemampuan rakyat, selain memperkukuh modal insan serta produktiviti.
Antara langkah yang berpotensi termasuk sokongan tambahan kepada pembeli rumah kali pertama, peluang pekerjaan belia, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), pembangunan kemahiran, pembiayaan pendidikan dan sokongan kepada usahawan muda.
"Ketidakpastian yang lebih besar terletak pada butirannya, khususnya sejauh mana bantuan tunai akan ditingkatkan atau dikekalkan, peruntukan subsidi, keutamaan perbelanjaan pembangunan serta sama ada sasaran defisit fiskal mampu dikekalkan apabila berdepan bil subsidi yang kini sudah jauh melebihi perancangan," katanya.
TA Research menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai "belanjawan kesinambungan yang berdepan tekanan", bukannya perubahan haluan secara mendadak.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026. - DagangNews.com





