Kapal selam autonomi Ghost Shark Australia ada ‘taring baharu’

WorldTechnology
19 Oct 2026 • 8:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kapal selam autonomi Ghost Shark Australia ada ‘taring baharu’

SYDNEY: Australia memperkukuh keupayaan peperangan bawah laut dengan melengkapkan kapal selam autonomi Ghost Shark dengan kumpulan dron udara dan periuk api laut, menurut Kementerian Pertahanan negara itu pada Isnin.

Syarikat pemula teknologi pertahanan Amerika Syarikat (AS), Anduril bersama saintis pertahanan Australia membangunkan kapal selam tanpa pemandu bersaiz sangat besar itu. Syarikat berkenaan turut membina armada Ghost Shark untuk Canberra menerusi kontrak bernilai 1.8 bilion dolar Australia (RM5.12 bilion).

Australia, Britain dan AS yang bekerjasama menerusi pakatan AUKUS, berikrar tahun ini untuk membangunkan muatan yang boleh saling digunakan bagi dron dalam peperangan bawah laut, selain kerjasama membabitkan kapal selam berkuasa nuklear.

Menteri Industri Pertahanan Australia, Pat Conroy di Sydney pada Isnin berkata, tiga jenis muatan diluluskan selepas melalui ujian sulit bagi melaksanakan tugas yang ‘tidak mahu diserahkan kepada manusia’.

Beliau berkata kepada pemberita, Ghost Shark boleh membawa sehingga 12 periuk api laut, peralatan untuk pasukan khas serta dron udara Altius keluaran Anduril yang boleh dilancarkan dari laut untuk membentuk kumpulan bagi menjalankan peninjauan dan serangan.

“Pihak yang berpotensi menjadi musuh perlu mengambil kira kemungkinan setiap kontena perkapalan di dermaga Australia mengandungi sebuah Ghost Shark.

“Bukan sahaja kontena perkapalan itu mungkin mengandungi Ghost Shark, malah kapal selam itu kini mempunyai ‘taring’,” katanya.

Australia, yang bimbang dengan perkembangan pesat armada tentera laut China serta ketegangan di Laut China Selatan, sedang meningkatkan pelaburannya dalam teknologi dron.

Pegawai berkata, Ghost Shark mampu bergerak dalam jarak jauh dan akan beroperasi bersama armada kapal selam yang dikendalikan kru manusia.

Conroy berkata, beberapa negara lain turut menunjukkan minat untuk mendapatkan Ghost Shark.

Pengarah perisikan Tentera Laut AS memberitahu sebuah jawatankuasa kerajaan AS pada Mei, China memberi tumpuan kepada pembangunan sensor bawah laut, senjata dan kenderaan autonomi bagi mengekang kapal selam AS.

Awal bulan ini, Anduril memenangi kontrak Tentera Laut AS bernilai AS$2.9 bilion (RM11.83 bilion) untuk membina komponen bagi kapal selam kelas Virginia milik negara itu. Syarikat berkenaan turut mengumumkan rancangan membina limbungan kapal selam baharu di AS.

Washington sedang berusaha mempercepat pengeluaran kapal selam bagi membolehkan penjualannya kepada Australia menerusi perjanjian AUKUS.-AFP

The post Kapal selam autonomi Ghost Shark Australia ada ‘taring baharu’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved