
KUALA LUMPUR: Lumut Naval Shipyard (LUNAS) memberi jaminan tarikh baharu kapal tempur pesisir (LCS) 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka dapat diserahkan pada April 2027, iaitu kira-kira enam bulan lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia disebabkan pelbagai isu berantai dan jangkaan kelewatan yang dimaklumkan oleh kontraktor LUNAS berbanding jaminan asal yang sepatutnya diserahkan pada Disember tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya menyedari perubahan tarikh penyiapan dan kelewatan itu sememangnya memberi kesan kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertahanan negara.
“Kita harus faham, Kementerian Pertahanan adalah klien, pelanggan bukannya kontraktor. Kita tidak membina kapal itu.
“Di pihak kementerian mewakili ATM dan TLDM, sudah pasti kita berasa sangat dukacita, kecewa dan tidak selesa dengan kelewatan dan prestasi pembinaan LCS yang dipertanggungjawabkan kepada LUNAS.
“Sebagai pembeli, sudah pasti kementerian sangat mengharapkan LCS dapat diserahkan dan kalau tarikh baharunya ialah April 2027, kita harap LUNAS tidak ada apa-apa lagi alasan dan kelewatan,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Isnin lalu, LKAN 2/2026 mendapati projek LCS lewat 7.55 peratus daripada jadual setakat 25 Jun, sekali gus menimbulkan risiko terhadap penyerahan fizikal LCS 1.
Kelewatan itu antaranya berpunca daripada sistem pelancar Naval Strike Missile (NSM) yang belum tersedia selepas permit eksportnya dibatalkan secara kekal oleh kerajaan Norway.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kelewatan antara 30 hingga 108 hari itu boleh menjejaskan tarikh penyerahan yang dijadualkan pada 26 Ogos atau sasaran disemak pada 26 Disember.
Wan Suraya berkata, LCS 1 tidak akan mencapai keupayaan penuh sekiranya diserahkan sebelum latihan dan sistem persenjataannya diselesaikan. Kelewatan kapal pertama itu juga dijangka memberi kesan kepada jadual penyerahan LCS 2 hingga LCS 5.
Pada masa sama, Mohamed Khaled menjelaskan kapal LCS yang bakal diterima nanti turut dilengkapi dengan sistem persenjataan walaupun ia tidak mempunyai NSM.
“LCS itu akan tetap dilengkapi dengan beberapa jenis sistem persenjataan yang lain, antaranya misil dari permukaan ke udara, misil daripada permukaan ke laut dalam untuk serang ataupun berhadapan dengan mana-mana ancaman daripada kapal selam.
“Kita juga mempunyai sistem peperangan elektromagnetik untuk menggagalkan segala serangan yang akan dilakukan dan juga Combat Management System yang mengintegrasikan semua keupayaan ini dengan sistem radar dan pengesan kapal,” katanya.
Jika terdapat ancaman daripada mana-mana kapal musuh lain, beliau berkata, TLDM juga masih boleh menjalankan operasi secara bersepadu dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Walaupun kita tidak mempunyai NSM, iaitu misil permukaan ke permukaan, katalah kapal 100 kilometer (KM) jauhnya yang kita anggap ada niat tidak baik pada negara kita, melalui pengesanan yang dibuat oleh kapal, kita boleh maklum pada TUDM untuk lakukan serangan kepada kapal yang kita rasakan sebagai mengancam,” katanya. –UTUSAN
The post LCS 1 jangka serah pada April 2027 appeared first on Utusan Malaysia.





