
HULU SELANGOR – Isu Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan dapatan terbaharu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan dijawab petang ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau akan memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan pada persidangan Parlimen hari ini.
“Kalau pasal LCS, tunggu saya jawab di Parlimen petang ini,” katanya ringkas ketika pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu LCS selepas LKAN 2/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu mendedahkan projek berkenaan sekali lagi mengalami kelewatan.
Menurut Jabatan Audit Negara (JAN), kemajuan keseluruhan projek membabitkan lima LCS lewat 7.55 peratus setakat 25 Jun lalu dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari.
Kelewatan berkenaan turut menimbulkan risiko terhadap penyerahan fizikal (PHO) LCS 1 yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos lalu sebelum sasaran baharu ditetapkan pada 26 Disember ini.
Audit itu turut mendapati sekiranya penyerahan dibuat pada sasaran baharu berkenaan, LCS 1 masih belum mencapai keupayaan operasi penuh berikutan latihan serta sistem persenjataan belum disempurnakan.
Malah, kesiapsiagaan penuh projek tersebut bergantung kepada beberapa kontrak pelengkap yang hanya dijangka disempurnakan pada Disember 2035, sedangkan tempoh Kontrak Utama berakhir pada 25 April 2030. – KOSMO! ONLINE
The post Isu audit LCS, Mohamed Khaled jawab di Parlimen petang ini appeared first on Kosmo Online.






