
LUMUT – Sebuah vesel tangki minyak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Perak selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 5.9 batu nautika dari Pulau Pangkor, di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel tersebut dikesan bersauh tanpa kebenaran kira-kira pukul 1.26 petang ketika aset APMM sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh lima kru terdiri daripada empat warga Myanmar termasuk nakhoda serta seorang warga Indonesia berusia antara 34 hingga 59 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut serta gagal mengemukakan polisi insurans berkaitan seperti yang ditetapkan,” katanya.
Susulan pemeriksaan itu, beliau berkata, nakhoda dan ketua jurutera dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.
“Dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat APMM.
“Kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Mohamad Shukri menegaskan bahawa setiap vesel yang beroperasi, memasuki atau berada di perairan Malaysia tertakluk kepada undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Kapal tangki minyak ditahan bersauh tanpa kebenaran dekat Pangkor appeared first on Kosmo Online.






