Selalunya telefon lama jarang sekali diberikan kemas kini kerana ia bukan keutamaan. Tetapi minggu ini Google menyarankan pemilik Pixel 6A memuat turun kemas kini khusus untuk peranti bagi menyelesaikan isu pemanasan yang dilaporkan pengguna. Selepas kemas kini dimuat turun, kapasiti bateri dikurangkan. Ini ialah insiden kedua Google memberikan kemas kini mengurangkan kapasiti bateri selepas isu sama dilaporkan pemilik Pixel 4A pada Januari lalu.

Menurut Google isu hanya timbul selepas bateri melalui 400 kitaran pengecasan. Selain kapasiti, prestasi pengecasan bateri juga dikurangkan menerusi kemas kini. Pelanggan yang terkesan dengan isu ini akan dihubungi Google bagi memberikan maklumat lebih lanjut.
Kemas kini segera disarkan kepada pemilik Pixel 6A selepas dua insiden peranti terbakar secara rawak muncul di media sosial. Ini mengingatkan kami kepada kemas kini kecemasan yang diberikan Samsung kepada pemilik Galaxy Note 7 yang enggan menyerahkan semula peranti dengan isu bateri meletup. Samsung kemudiannya mengambil langkah drastik mematikan terus kemampuan mengecas Galaxy Note 7 bagi menghentikan penggunaan peranti yang berisiko ini.




