Kapasiti katil naik 62%, keuntungan Sunway Healthcare dijangka cecah RM475.6 juta – Public Invest

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 12:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kapasiti katil naik 62%, keuntungan Sunway Healthcare dijangka cecah RM475.6 juta – Public Invest Image from: Kapasiti katil naik 62%, keuntungan Sunway Healthcare dijangka cecah RM475.6 juta – Public Invest liza31/07/2026 - 12:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai – Public Invest Research memulakan liputan terhadap Sunway Healthcare Holdings Bhd dengan penarafan “Neutral” serta menetapkan harga sasaran RM1.82 sesaham berikutan prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat itu yang dilihat positif.

 

Firma penyelidikan itu berkata, SunMed mempunyai kedudukan kukuh sebagai antara penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta utama di Malaysia menerusi rangkaian hospital dan ekosistem penjagaan kesihatan bersepadu yang dimilikinya.

 

Menurut Public Invest, kekuatan utama SunMed disokong oleh model operasi bersepadu yang menghubungkan hospital utama, pusat rawatan pesakit luar dan perkhidmatan penjagaan kesihatan sokongan bagi menyediakan rawatan menyeluruh kepada pesakit.

 

SunMed mengendalikan lima hospital di Malaysia dengan 1,982  kapasiti katil setakat ini.

 

“Rancangan pengembangan berperingkat SunMed dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat dalam tempoh sederhana hingga panjang, terutama menerusi penambahan kapasiti katil dan pembukaan hospital baharu,” kata Public Invest dalam nota kajiannya.

 

Pelancongan Perubatan Jadi Pemacu Pertumbuhan

Firma itu menjangkakan kapasiti katil SunMed meningkat kira-kira 62% kepada 2,459 katil menjelang akhir tahun kewangan 2028, sebelum melebihi 3,400 katil menjelang 2032.

 

Ia melibatkan projek pembesaran hospital sedia ada termasuk Sunway Medical Centre Sunway City, Sunway Medical Centre Penang, Sunway Medical Centre Velocity dan Sunway Medical Centre Damansara yang dijangka menambah sekitar 477 katil baharu menjelang suku ketiga 2028.

 

Selain itu, SunMed turut merancang pembangunan hospital baharu di Seremban, Iskandar Puteri dan Putrajaya dengan jumlah tambahan hampir 985 katil yang akan memperluaskan kehadiran syarikat ke kawasan yang mempunyai permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

 

Public Invest berkata, SunMed juga berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil manfaat daripada pertumbuhan pelancongan perubatan Malaysia dengan peningkatan sumbangan pesakit antarabangsa terhadap pendapatan kumpulan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Healthcare beli tanah RM45.4 juta di Iskandar Puteri untuk bina hospital baharu

 

Sumbangan hasil daripada pesakit luar negara meningkat daripada 8.1% pada 2022 kepada 11.9% pada 2024, manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, ia menyumbang 13.4% daripada jumlah hasil SunMed.


Keuntungan Dijangka Meningkat Namun Penilaian Saham Sudah Tinggi

Menurut Public Invest, pesakit luar negara lazimnya mendapatkan rawatan lebih kompleks dengan nilai bil yang lebih tinggi, khususnya bagi bidang jantung, kanser, usus dan ortopedik.

 

Firma itu berkata, lebih separuh daripada hasil pesakit luar negara SunMed datang daripada Indonesia, menunjukkan potensi besar pasaran serantau terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan syarikat.

 

Dari sudut kewangan, Public Invest mengunjurkan keuntungan bersih SunMed meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 23.6% antara tahun kewangan 2025 hingga 2028.

 

“Keuntungan bersih SunMed dijangka meningkat daripada RM252.2 juta pada 2025 kepada RM300.5 juta pada 2026, RM364.2 juta pada 2027 dan RM475.6 juta pada 2028,” katanya.

 

Namun begitu, Public Invest berkata penilaian semasa saham SunMed sudah mengambil kira beberapa faktor positif termasuk kedudukan pasaran, pertumbuhan pendapatan dan rancangan pengembangan syarikat, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan harga dalam tempoh terdekat.

 

Risiko Kekurangan Tenaga Kerja Dan Pelaksanaan Projek Perlu Diberi Perhatian

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun prospek jangka panjang SunMed kekal kukuh, terdapat beberapa risiko yang perlu diberi perhatian termasuk kebergantungan tinggi terhadap hospital utamanya, Sunway Medical Centre Sunway City.

 

Hospital berkenaan masih menjadi penyumbang terbesar kepada prestasi kewangan kumpulan dengan menyumbang kira-kira 96% daripada keuntungan bersih SunMed bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025.

 

Selain itu, kemampuan SunMed melaksanakan rancangan pengembangan turut bergantung kepada keupayaan mendapatkan dan mengekalkan doktor, jururawat serta tenaga profesional kesihatan yang mencukupi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved