liza30/07/2026 - 10:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Nestlé (Malaysia) Berhad dijangka mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM682.2 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), meningkat 29.9% berbanding RM525 juta pada FY2025 disokong pertumbuhan jualan, pengurusan kos yang lebih baik, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi keuntungan Nestlé Malaysia terus berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang dengan keuntungan bersih teras diunjurkan meningkat kepada RM782.3 juta pada FY2027 dan RM861.4 juta pada FY2028.
Bagi tahun kewangan 2026, MBSB Research mengunjurkan hasil Nestlé Malaysia meningkat kepada RM7.39 bilion, berbanding RM6.88 bilion pada FY2025, sebelum berkembang kepada RM7.84 bilion pada FY2027 dan RM8.33 bilion pada FY2028.
MBSB Research berkata, peningkatan prestasi terkini Nestlé Malaysia didorong oleh pertumbuhan jumlah jualan, bukannya kenaikan harga produk yang ketara.
“Ini menunjukkan permintaan pengguna yang masih kukuh terhadap jenama utama syarikat.
“Nestlé Malaysia tidak melaksanakan sebarang kenaikan harga baharu pada suku kedua FY2026 atau setakat ini bagi tahun semasa, manakala kesan harga sebelum ini hanya mencerminkan pelarasan yang dibuat pada 2024 dan awal 2025,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Pertumbuhan Disokong Permintaan Dan Kecekapan Kos
Firma itu berkata margin keuntungan Nestlé Malaysia bertambah baik hasil gabungan beberapa faktor termasuk penurunan harga komoditi utama seperti kopi dan koko, pengukuhan ringgit serta peningkatan kecekapan operasi dalaman.
Walaupun beberapa harga komoditi mula menunjukkan peningkatan semula, pihak pengurusan menjangkakan margin keuntungan kekal sihat pada separuh kedua FY2026, disokong strategi lindung nilai, manfaat pertukaran asing dan langkah kawalan kos.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3% kepada RM155 juta pada suku kedua 2026
Selain itu, Nestlé Malaysia terus memberi tumpuan kepada inisiatif penjimatan kos melalui penggunaan teknologi digital bagi memudahkan proses operasi serta meningkatkan produktiviti dalam keseluruhan kumpulan.
MBSB Research berkata, syarikat juga dijangka mengekalkan strategi menawarkan produk bernilai dan kompetitif bagi memastikan pengguna terus memilih jenama Nestlé ketika pengguna semakin berhati-hati dalam perbelanjaan.
Kedudukan Kewangan Semakin Kukuh
Menurut MBSB Research, kedudukan kewangan Nestlé Malaysia bertambah baik apabila kos pembiayaan menurun susulan pengurangan jumlah pinjaman syarikat.
“Aliran tunai yang lebih kukuh hasil peningkatan keuntungan serta penambahbaikan modal kerja turut membantu Nestlé Malaysia mengurangkan hutang dan menyokong pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada pemegang saham,” katanya.
Susulan prospek pertumbuhan yang positif itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Nestlé Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada RM116.1 sesaham.
Pada harga saham RM96.78 sesaham setakat 29 Julai 2026, MBSB Research menjangkakan saham Nestlé Malaysia menawarkan potensi pulangan harga sebanyak 19.9%, selain anggaran hasil dividen sebanyak 2.9%.
Nestlé Tingkatkan Keupayaan Pengeluaran Selepas Pelaburan RM1 Bilion
Nestlé Malaysia telah melabur kira-kira RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun lalu bagi memperluaskan kapasiti pengeluaran yang akan menyokong pertumbuhan jumlah jualan pada masa hadapan.
Selepas melalui kitaran pelaburan besar tersebut, perbelanjaan modal (capex) syarikat dijangka lebih sederhana, namun Nestlé Malaysia akan terus melabur dalam bidang pendigitalan, automasi dan kecekapan pembuatan.
Secara keseluruhan, MBSB Research kekal positif terhadap prospek Nestlé Malaysia berikutan pemulihan keuntungan yang disokong permintaan pengguna yang berdaya tahan, margin keuntungan lebih baik, aliran tunai kukuh serta keupayaan syarikat mengurus tekanan kos. - DagangNews.com






