Kapasiti penggunaan industri pembuatan cecah 79.6% pada suku pertama - DOSM

19 May 2023 • 2:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kapasiti penggunaan industri pembuatan cecah 79.6% pada suku pertama - DOSM

zulfadli

19/05/2023 - 14:48

KUALA LUMPUR 19 Mei - Industri pembuatan Malaysia beroperasi pada kapasiti penggunaan sebanyak 79.6% pada suku pertama 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik kapasiti penggunaan industri pembuatan merupakan indikator baharu dikeluarkan DOSM yang memberi pengguna aspek lain bagi menilai prestasi sektor berkenaan di Malaysia.

"Laporan ini memaparkan statistik bagi tempoh 2015 sehingga suku pertama 2023 di peringkat nasional dan negeri.

"Kapasiti penggunaan merujuk kepada nisbah output sebenar yang dihasilkan berbanding pengeluaran output pada kapasiti penuh melalui gabungan optimum mesin, bahan mentah dan buruh," katanya dalam kenyataan Statistik Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan Malaysia Suku Pertama 2023.

Mohd Uzir berkata, kapasiti penggunaan industri pembuatan bagi tempoh 2015-2022 adalah dalam julat 69.8% hingga 80.4%.

Kadar penggunaan terendah adalah pada 2020 (69.8%) berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi negara terhenti seketika pada tahun tersebut.

"Kadar penggunaan tinggi yang melebihi 80% telah dicapai pada 2015, 2016 dan 2022 iaitu masing-masing pada kadar 80.1%, 80.2% dan 80.4%," katanya.

image is not available

Menurutnya, pada suku pertama 2023, industri pembuatan beroperasi dengan kapasiti penggunaan 79.6%, berkurangan sebanyak 1.5 mata peratus berbanding tahun lepas pada 81.1%.

Kemerosotan itu dipengaruhi terutamanya penurunan dalam hampir semua subsektor kecuali kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain.

Selain itu, Mohd Uzir berkata, kadar kapasiti penggunaan bulanan bagi industri pembuatan meningkat pada Mac 2023 apabila mencapai 80.6% selepas dua bulan beroperasi dengan kapasiti di bawah 80% iaitu 79.2% (Januari 2023) dan 79.1% (Februari 2023).

"Sebaliknya, kadar kapasiti penggunaan adalah lebih rendah berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya akibat permintaan rendah; bekalan bahan yang tidak mencukupi dan pembaikan serta penyelenggaraan mesin dan peralatan," katanya.

Kadar kapasiti penggunaan tertinggi pada suku pertama 2023 dicatatkan subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain dengan 84%, meningkat 3 mata peratus tahun ke tahun dan diikuti pembuatan petroleum, kimia, getah dan plastik.

Menurutnya, industri berorientasikan domestik mencatat kadar kapasiti penggunaan sebanyak 80.5% pada suku pertama 2023, meningkat sedikit dengan 0.04 mata peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, lapor Bernama.

"Namun, kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport turun sebanyak 2 mata peratus tahun ke tahun kepada 79.3% pada suku tahun ini," katanya.

Mengulas kapasiti penggunaan di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata, pembuatan di enam negeri yang beroperasi pada kapasiti melebihi 80% adalah masing-masing Wilayah Persekutuan Labuan (93.3%); Kedah (83.8%); Sarawak (81.6%); Melaka (81.4%); Negeri Sembilan (81.1%) dan Johor (80.4%). - DagangNews.com