MGB catat lonjakan untung bersih sebanyak 68.3% kepada RM12.24 juta pada suku pertama 2023

Business & Finance
19 May 2023 • 11:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MGB catat lonjakan untung bersih sebanyak 68.3% kepada RM12.24 juta pada suku pertama 2023

diyana

19/05/2023 - 11:49

KUALA LUMPUR 19 Mei - MGB Berhad telah mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 68.3% kepada RM12 juta dalam suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (1QFY23) berbanding RM7.1 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada suku tersebut menyusut sedikit pada 0.47% kepada RM177.8 juta berbanding RM178.6 juta dalam tahun sebelumnya.

Keputusan kukuh ini dijana daripada projek-projek seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di Alam Perdana yang dijangka siap dibina menjelang tahun kewangan 2023.

Segmen pembinaan dan perdagangan telah menyumbang RM168.64 juta kepada pendapatan kumpulan, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen ini bagi tempoh kewangan semasa adalah RM13.4 juta berbanding RM10.91 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan prestasi MGB turut disokong oleh segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, didorong oleh projek Idaman Melur, Cybersouth serta perkembangan pesat Fasa 3 dan 4 Laman Bayu, Batu Pahat yang telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan sebanyak RM9.12 juta berbanding RM4.58 juta pada suku pertama tahun sebeleumnya.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata syarikat itu memulakan 2023 dengan langkah yang betul, di mana keputusan ini adalah prestasi yang kukuh bagi MGB sejak penubuhannya.

image is not available
Tan Sri Ir Lim Hock San

"Dengan 20 projek yang masih berjalan, MGB dijangka menjana pendapatan kira-kira RM4 bilion pada tahun-tahun akan datang. Ini berdasarkan tempahan pembinaan tertunggak sebanyak RM1.78 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.36 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah," katanya dalam satu kenyataan.

Hock San berkata, MGB turut menjangkakan peningkatan semula projek pembinaan, justeru momentum dapat dikekalkan bagi memperoleh lebih banyak projek pembangunan Rumah Idaman MBI melalui kerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI).

"Kami optimis bahawa MGB berada pada kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan yang positif bagi baki tahun 2023 walaupun berhadapan cabaran kenaikan kadar faedah.

"Kami yakin dengan keupayaan untuk mengurangkan sebarang kesan buruk yang mungkin timbul daripada cabaran dan terus konsisten untuk memberikan pertumbuhan yang mampan pada tahun-tahun yang akan datang kepada pemegang saham," katanya. -DagangNews.com