Kapten Mat Komando, calon paling tua tidak anggap usia penghalang

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 1:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kapten Mat Komando, calon paling tua tidak anggap usia penghalang

MELAKA: Status sebagai calon paling berusia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bukan penghalang kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Kapten Mat untuk keluar berkempen.

Kapten (B) Mohamad Jaafar berkata, usia bukan isu utama dalam menentukan penerimaan masyarakat terhadap seseorang calon tetapi sejauh mana calon itu dikenali penduduk setempat.

Menurutnya, walaupun golongan muda khususnya generasi Z (Gen Z) mungkin tidak mengenalinya, ibu bapa mereka sudah mengetahui latar belakang dan hubungannya dengan masyarakat.

“Dalam DUN Telok Mas ini sebenarnya dia tak ada isu calon tua atau calon muda. Dia tak ada isu.

“Isu dia kenal calon atau tak kenal calon. Mungkin Gen Z tak kenallah, tapi mak bapa mereka kenal saya,” katanya ketika ditemui dalam program Santai Petang di Telok Mas di sini, semalam.

Mengulas penerimaan pengundi sepanjang beberapa hari berkempen, Mohamad berkata, beliau menerima sambutan yang baik ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk di beberapa kawasan termasuk Pernu, Bukit Larang dan Alai.

Bagaimanapun, beliau mengakui pendekatan untuk mendekati pengundi Gen Z masih menjadi antara perkara yang sedang difikirkannya sepanjang kempen.

Katanya, berdasarkan pertemuan dengan hampir 50 anak muda setakat ini, kebanyakan mereka kurang mengambil tahu mengenai politik, malah ada yang tidak menyedari bahawa mereka sudah layak mengundi.

“Cuma kita sedang memikirkan macam mana kita nak tackle Gen Z.

“Golongan Gen Z ini golongan muda yang berpengaruh pun ada, kawan-kawan ramai, terutama orang Melayu tapi dari segi sudut politik, kebanyakan golongan Gen Z tak cakna politik,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman berkhidmat selama 16 tahun dalam komando menjadi antara kelebihan yang dimilikinya, khususnya untuk mendekati golongan veteran tentera.

Beliau berkata, ramai veteran yang ditemuinya memberikan ucapan tahniah dan beliau turut berhasrat membantu kebajikan mereka termasuk dalam soal perumahan serta kewangan.

“Hari-hari sekarang sampai bila dia tengok nama saya Kapten Mat, veteran-veteran semua jumpa saya. Saya kata kalau veteran tentera, makna saya saya akan bantu,” katanya.

DUN Telok Mas menyaksikan pertembungan Mohamad Jaafar dengan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Muhammad Hazwan Mustafa.-UTUSAN 

 

The post Kapten Mat Komando, calon paling tua tidak anggap usia penghalang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved