Kapten Tentera Didakwa Bunuh Influencer Bangladesh, Memandu Secara Mabuk

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 11:57 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kapten Tentera Didakwa Bunuh Influencer Bangladesh, Memandu Secara Mabuk

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Seorang pegawai tentera berpangkat kapten dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini (30 April) atas dakwaan membunuh pempengaruh dan YouTuber yang juga warga Bangladesh di Lebuh Raya Maju (MEX) pada minggu lalu.

Jad Faid Arhan, 31, turut berdepan dua pertuduhan memandu secara mabuk sehingga mengakibatkan kecederaan kepada isteri pencipta kandungan berkenaan dan juga seorang pemandu e-hailing.

Namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan pertama: Membunuh

Bagi pertuduhan membunuh, Jad Faid yang bertugas di divisyen artileri Kementerian Pertahanan hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan, lapor Sinar Harian.

Dia didakwa menyebabkan kematian pencipta kandungan permainan video popular dari Bangladesh, Muzahid Millad, 22 atau turut dikenali di dunia maya sebagai ‘Advance Gaming’.

Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku di KM1.9 MEX dari Salak Selatan menghala Jalan Tun Razak sekitar jam 5.30 pagi, 23 April lalu.

Bagi pertuduhan ini pegawai tentera itu boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali sekiranya disabitkan bersalah.

Pertuduhan kedua dan ketiga: Memandu bawah pengaruh alkohol hingga mengakibatkan kecederaan

Bagi pertuduhan memandu secara mabuk yang berlangsung di Mahkamah Majistret Trafik pula, Jad Faid didakwa sebagai pemandu kereta jenis Ford Fiesta berwarna putih telah memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan dirinya tidak berdaya mengawal kenderaan berkenaan.

Perbuatan itu mengakibatkan kecedereaan kepada isteri Muzahid iaitu Nafisa Tabassum Adiba, 21, dan kecederaan parah kepada pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41.

Kedua-dua pertuduhan ini didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda RM50,000.

Pegawai tentera itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan, lapor Berita Harian.