SHAH ALAM - Karangkraf meneruskan kembali tradisi apabila sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, penganjuran semula program itu dibuat susulan menerima permintaan daripada staf dan majlis berlangsung meriah hasil semangat gotong-royong pelbagai pihak.
"Staf yang ingin melaksanakan ibadah korban melibatkan dua ekor lembu manakala tradisinya diteruskan apabila Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menyumbangkan tiga ekor lembu.
"Kita juga menerima sumbangan daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Northport (Malaysia) Berhad masing-masing menyumbangkan seekor lembu untuk ibadah tahun ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban dan Kenduri Aidiladha Karangkraf di sini pada Khamis.
Hadir sama, Hussamuddin; Penasihat Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Pengarah Eksekutif Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi.
**media[3534058]**Dalam pada itu, beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi apabila terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba bagi menangkap seekor lembu yang terlepas.
“Kami mula menyembelih lembu sejak jam 8.30 pagi lagi dan seekor lembu terlepas serta berkeliaran di kawasan seluas kira-kira 21 ekar ini.
"Bomba dipanggil pada saat akhir untuk membantu. Itu antara cabaran dalam melaksanakan ibadah korban," ujarnya.
Hashim berkata, seramai 100 peserta terlibat dalam menjayakan ibadah itu dengan dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti penyembelihan, melapah, memotong daging dan tulang.
"Kita mendapat sokongan daripada wakil rumah sukan, kakitangan Karangkraf, Surau Hamiddean Bicycle Team19, Masjid Al-Ubudiah, KDEBWM serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 19.
“Walaupun tidak terlalu ramai, suasana gotong-royong tetap dapat dirasai dan semua kerja berjaya diselesaikan dengan baik hasil kerjasama yang diberikan," katanya.
Tambahnya, sebanyak 400 bungkusan daging korban telah diagihkan kepada staf dan golongan yang memerlukan.






