Korban Aidiladha: KDEBWM terus bantu komuniti seluruh Selangor

28 May 2026 • 3:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Korban Aidiladha: KDEBWM terus bantu komuniti seluruh Selangor
KDEBWM dan Karangkraf menjayakan majlis gotong-royong korban sempena Aidiadha 2026 di Karangkraf pada Khamis.
Image from: Korban Aidiladha: KDEBWM terus bantu komuniti seluruh Selangor
Mahfuzah (dua dari kanan) turut membantu memotong daging korban untuk diagihkan pada majlis gotong-royong korban sempena Aidiadha 2026 di Karangkraf pada Khamis.
Image from: Korban Aidiladha: KDEBWM terus bantu komuniti seluruh Selangor
Kakitangan KDEBWM turut membantu melapah dan mengagihkan daging korban pada majlis gotong-royong korban sempena Aidiadha 2026 di Karangkraf pada Khamis.

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi pelaksanaan program ibadah korban sempena Aidiladha 2026 di Selangor.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukkan syarikat untuk pembelian lembu korban untuk diagihkan kepada komuniti.

Menurut beliau, CSR menjadi tumpuan utama bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh negeri meskipun sibuk dalam mengendalikan operasi perniagaan.

"Walaupun sibuk dalam perniagaan tetapi untuk CSR ini, kita tidak boleh abaikan lebih-lebih lagi melibatkan komitmen kepentingan agama dan kebajikan umat Islam

"Lembu korban ini untuk diagihkan kepada semua pihak-pihak berkeperluan di seluruh negeri termasuk surau, rumah anak yatim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid dan sebagainya.

**media[3534042]**

“Segala usaha yang dilaksanakan ini memberi manfaat kepada masyarakat dan mendapat ganjaran yang baik di sisi ALLAH SWT," katanya pada majlis Gotong -Royong Korban Sinar Harian dan KDEBWM di Karangkraf pada Khamis.

Mahfuzah berkata, Sinar Karangkraf dan Majlis Bandaraya Diraja Klang antara penerima sumbangan lembu dalam menyempurnakan ibadah korban tahun ini.

"Kami memilih Sinar Karangraf kerana mempunyai fasiliti dan logistik yang sesuai bagi melaksanakan program korban.

"Selain pengagihan daging korban, satu pertiga daripadanya turut digunakan untuk jamuan,” katanya lagi.

**media[3534043]**

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan KDEBWM memperuntukkan lebih RM1.5 juta setiap tahun bagi pelbagai program CSR melibatkan pendidikan masyarakat, kebajikan dan aktiviti komuniti.

Menurut Mahfuzah, dana tersebut meliputi usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan mesra alam.

“Antara inisiatif yang dijalankan termasuk pemberian tong sampah, kempen pengasingan sisa, program pendidikan komuniti serta aktiviti sukan dan rekreasi masyarakat.

“Kami mahu membentuk kefahaman masyarakat mengenai pengendalian sisa pepejal yang betul. Untuk mendidik masyarakat, kempen kesedaran perlu digerakkan secara berterusan melalui kolaborasi pelbagai pihak,” katanya.