Karya tempatan juga ada nilai muhibah

LocalEntertainment
30 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Karya tempatan juga ada nilai muhibah

Jika dilihat, karya tempatan semakin berani menampilkan wajah Malaysia yang lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat menerusi pelbagai latar, budaya dan pengalaman, dalam ruang yang sama pada waktu ini.

Daripada filem hingga muzik, kreativiti penggiat seni berbilang kaum semakin menemukan titik temu untuk menghasilkan karya yang terasa lebih segar dan dekat dengan identiti kita.
Kepelbagaian itu tidak lagi sekadar menjadi pelengkap cerita. Dalam filem, ia diterjemahkan menerusi watak, jalan cerita dan latar yang mencerminkan kehidupan masyarakat Malaysia.

Dalam muzik pula, percampuran bahasa, bunyi dan pengaruh budaya melahirkan karya yang mempunyai identiti tersendiri. Semuanya berlaku secara lebih bersahaja, tanpa perlu terlalu dipaksa untuk kelihatan ‘Malaysia’.

Lebih penting, karya sebegini turut membuka ruang untuk wajah Malaysia dikenali di luar. Apabila filem dan muzik tempatan merentasi sempadan, yang dibawa bersama bukan sekadar hiburan, tetapi gambaran tentang sebuah negara yang terbina daripada kepelbagaian.
Perasaan itu turut diraikan tiga artis pilihan Pancaindera kali ini sempena meraikan Hari Kebangsaan tanah air esok. Ikuti apa kata mereka tentang warna Malaysia dalam gubahan karya tempatan.

FABIAN LOO

Image from: Karya tempatan juga ada nilai muhibah

 

Bagi pelakon Fabian Loo, wajah Malaysia dalam sesebuah karya tidak seharusnya hadir melalui label kaum semata-mata, sebaliknya lahir daripada cerita yang mampu menghimpunkan kepelbagaian masyarakat dalam satu naratif yang dekat dengan realiti kehidupan.

Sudah 12 tahun meniti perjalanan dalam dunia lakonan, Fabian melihat perubahan landskap perfileman tempatan sebagai perkembangan yang cukup positif, khususnya apabila ruang untuk bercerita kini semakin terbuka.

Baginya, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sebenarnya mempunyai begitu banyak kisah untuk diterjemahkan ke layar, tanpa perlu mengehadkan sesebuah cerita kepada identiti Melayu, Cina atau India sahaja.

“Saya rasa sekarang ini kita punya kebebasan dalam penceritaan agak luas. Jadi, saya rasa dalam ruang itu kita dapat menghasilkan satu cerita yang ada pelbagai jenisnya, ada Cina, ada India, ada pelbagai kaum dalam satu ruang menerusi penceritaan. Ini bagi saya adalah satu perkembangan yang sihat,”katanya.

Dalam keterujaan melihat karya tempatan berkembang, Fabian berharap lebih banyak kisah yang benar-benar berakar daripada kehidupan masyarakat Malaysia diberikan ruang untuk diterokai.

Baginya, negara ini bukan ketandusan cerita. Sebaliknya, terlalu banyak kisah yang masih tersimpan di sebalik lokasi, komuniti dan kehidupan masyarakat yang mungkin selama ini tidak diberikan perhatian.

Fabian juga mengambil contoh beberapa lokasi tempatan yang pada pandangan luaran mungkin kelihatan biasa, tetapi menyimpan cerita dan sisi kehidupan yang jauh lebih mendalam.

“Ya, saya rasa sebab Malaysia ini kita banyak tempat atau ada cerita dari tempat-tempat yang kita belum fahami lagi.

“Jadi, banyak ruang lagi untuk kita terokai. Macam contoh, cerita yang ada di Cheras yang lebih mendalam, apa cerita di sebaliknya? Saya rasa semua itu adalah ‘emas’ untuk pengkarya cerita,” katanya.

KIDD SANTHE

Image from: Karya tempatan juga ada nilai muhibah

“Saya bukan orang India, saya orang Malaysia.”

Demikian kata penyanyi rap, Kidd Santhe, 30, yang meletakkan semangat kenegaraan sebagai jati dirinya yang paling utama. Kata Kidd, jati diri sebagai rakyat Malaysia menjadi perkara nombor satu yang di ketengahkan ketika dia merantau ke negara lain.

“Saya, dalam apa juga perkara, akan bercakap sebagai orang Malaysia, dari Malaysia. Dalam konteks ini, kita melihat rakyat Malaysia berbilang bangsa hidup dengan menikmati pelbagai kelebihan sama rata, kita semua pemegang kad pengenalan berwarna biru,” katanya.

Dalam pada itu, tiada siapa menyangka lagu Na Vera Level, sentuhan Kidd, Jayaseelan Nadaraja dan Ravanaa Ram mencuri perhatian di India.

Pemilik nama penuh Parssanth Navaratnam ini awalnya melaburkan peruntukan besar demi mengharapkan ‘kemenjadian’ lagu berkenaan. Ternyata, ia berhasil.

Bagaimanapun, populariti yang diraih tidak membuatkan anak kelahiran Kuala Lumpur ini lupa asal usulnya. Justeru, sebagai tanda apresiasi tanah air, Kidd menggunakan acuan Na Vera Level untuk menghasilkan Aku Level Lain yang menggandingkannya dengan penyanyi rap kelahiran Kelantan, RxF Rhaled

Lebih membanggakan apabila karya, yang liriknya juga ditulis dalam dialek Kelantan, mencuri perhatian Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi.

“Lagu ini merupakan karya patriotik, yang menggabungkan penyanyi rap berbangsa India dengan penyanyi rap berasal dari Kelantan. Ia secara tidak langsung mengharmonikan rakyat Malaysia.

“Sebenarnya, jika dilihat dari sudut masyarakat, rakyat Kelantan, yang berbilang bangsa sudah membina keharmonian mereka sendiri. Ini terbukti apabila bahasa Kelantan itu sendiri digunapakai sebagai bahasa komunikasi kaum Melayu, India dan Cina yang tinggal di negeri tersebut,” katanya.

Kidd meluahkan rasa bangga apabila muzik Malaysia, kini semakin diraikan dan diberi kesempatan untuk menonjol apa lagi dengan kewujudan media sosial yang bersifat tanpa sempadan.

“Dengan menggunakan media sosial, anak seni Malaysia, tidak mengira kaum, berpeluang berkongsi karya masing-masing dan ia menjadi tular semalaman.

“Kita sekarang sudah bergerak ke depan, sudah ada banyak lagu, Melayu, Cina, India, serta etnik Sarawak dan Sabah yang dikedepankan dan dapat juga dinikmati masyarakat negara lain,” kongsinya.

Pada masa sama, Kidd Santhe berharap toleransi antara kaum yang sedia terbina sejak bertahun-tahun lamanya, dapat dipelihara dan dikekalkan.

“Ya, masyarakat Malaysia hari ini berdepan pelbagai cabaran untuk mengekalkan toleransi antara kaum.
“Dengan kewujudan pelbagai isu, semakin hari, tembok toleransi itu cuba dirobohkan. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya,” ujarnya.

SHERMAINE ALEXANDER

Image from: Karya tempatan juga ada nilai muhibah

Sebagai anak jati Sabah pelakon, Sharmaine Alexander, 26, berkata, negeri di bawah bayu itu mempunyai banyak permata seni yang masih belum diasah sepenuhnya kebolehan mereka.

Bagaimanapun, peluang dan ruang untuk anak Sabah dikenal sedikit sempit berbanding mereka yang tinggal di Semenanjung membuatkan ramai yang perlu berpindah untuk mengejar impian masing-masing.

“Saya sanggup berpindah ke Semenanjung demi mengejar impian dan mencari lebih banyak peluang dalam industri. Bukan sebab saya rasa Sabah tidak cukup bagus, tetapi saya tahu untuk berkembang dalam bidang yang saya minati, saya perlu berani keluar dari zon selesa dan cari ruang yang lebih luas.

“Memang bukan mudah untuk tinggalkan tempat sendiri dan mula dari bawah di tempat yang baharu. Tapi saya rasa kalau kita betul-betul ada impian, kita kena sanggup buat pengorbanan dan ambil peluang yang ada.

“Pada masa sama, saya harap suatu hari nanti anak-anak muda Sabah tidak semestinya perlu berpindah ke Semenanjung untuk mendapatkan peluang tetapi banyak peluang dan produksi boleh dibawa ke Sabah supaya bakat tempatan juga boleh berkembang di tempat sendiri,” katanya.

Selepas kemunculan Tengkang, Mantera, Ninavau dan Syurga Dalam Botol yang menjadi filem Sabah pertama mencapai kutipan RM1 juta, bekas peserta Dewi Remaja 2025 itu gembira kerana komuniti Sabah semakin dibincangkan di layar dan tidak hanya bergantung kepada suasana keindahan negeri itu.

“Sabah ada begitu banyak budaya, komuniti dan kisah kehidupan yang sebenarnya berpotensi diketengahkan.

“Komuniti di pulau-pulau dan kawasan pesisir Sabah sangat menarik. Banyak kisah tentang keluarga, pendidikan, pekerjaan dan kehidupan harian yang mungkin orang luar tak pernah lihat.“

Begitu juga pergelutan entiti dan kehidupan masyarakat Sabah bagaimana generasi muda sekarang cuba mencari keseimbangan antara kehidupan moden dengan budaya dan asal-usul mereka. Saya harap lebih banyak cerita seperti ini diberi peluang kerana ia boleh buat orang luar lebih memahami Sabah daripada perspektif orang Sabah sendiri,” katanya.

Sebagai pelakon baharu yang sering mendapat perhatian anak muda di media sosial, pelakon Kasih Yang Terkorban itu berharap industri akan lebih terbuka untuk memberi peluang kepada bakat anak tempatan di masa hadapan.

“Saya sendiri pun masih belajar dan mencari pengalaman dalam industri ini, jadi saya sangat faham betapa pentingnya peluang pertama itu.

“Pada masa sama, saya harap sesama penggiat industri boleh lebih banyak menyokong antara satu sama lain. Bagi saya, kejayaan seseorang itu tidak semestinya bermaksud kita kehilangan peluang.

“Sebaliknya, apabila kita saling membantu dan membuka ruang kepada orang lain, industri kita pun akan berkembang bersama.

“Sebagai orang Sabah, sudah tentu saya juga hendak tengok lebih ramai bakat dari Sabah dan Borneo diberi ruang di peringkat nasional. Bukan hanya kerana mereka datang dari Sabah, tetapi kerana bakat dan cerita mereka memang layak untuk diketengahkan,” katanya.

The post Karya tempatan juga ada nilai muhibah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved